Isnin, 12 Februari 2018 | 8:47pm
PASANGAN sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Isu tak dicalonkan remeh - Fazura

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nur Fazura Sharifuddin, tidak berasa ralat apabila nama beliau dan suami, Fattah Amin, tidak dicalonkan dalam kategori Couple Meletop pada Anugerah Meletop Era 2018 (AME2018) yang bakal berlangsung 8 April depan.

Menurut Fazura, 34, ada banyak perkara lebih penting untuk difokuskan berbanding memikirkan perkara yang disifatkan sebagai remeh-temeh itu.

"Jujurnya, saya tidak kisah pun sama ada dicalonkan atau tidak. Pada saya, isu ini remeh-temeh.

"Banyak lagi perkara lebih penting untuk diambil berat. Antaranya, memperbaiki kualiti lakonan dan meningkatkan lagi kerjaya saya," kata Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 ini ketika ditemui pada sesi pratonton filem televisyen, Janji Zehan, di sini hari ini.

Pemegang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini turut meminta peminatnya supaya tidak perlu risau dengan perkara terbabit kerana beliau dan Fattah, yang juga seorang pelakon, menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka.

Fazura berkata demikian sewaktu mengulas isu namanya dan Fattah, 27, tidak dicalonkan dalam kategori berkenaan sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan peminat mereka.

Terdahulu, Ketua Strategi Kandungan dan Inovasi Astro, Namanzee Haris, menafikan anugerah berkenaan sengaja tidak mencalonkan nama dua artis sensasi terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, ia termaktub dalam terma dan syarat pencalonan kerana majlis pernikahan pasangan popular itu berlangsung pada 27 November lalu, sedangkan senarai pencalonan ditutup pada 14 November.

Dalam pada itu, pasangan yang menjadi tumpuan ramai terbabit akan mengadakan majlis resepsi di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 25 Februari ini, selepas kira-kira tiga bulan diijabkabulkan.

4577 dibaca
Berita Harian X