;
Jumaat, 26 Januari 2018 | 11:09am
HAQIEM Rusli ketika menyanyikan lagu "Segalanya" pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 minggu pertama. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Haqiem Rusli janji beri persembahan terbaik di AJL

KUALA LUMPUR: Dilihat sebagai antara peserta yang mampu memberi cabaran pada kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32, Haqiem Rusli enggan meletak sasaran tinggi untuk membawa pulang kemenangan.

Mempertaruhkan lagu Tergantung Sepi pada acara yang akan berlangsung 11 Februari depan berkata, Haqiem berkata, tekadnya kini hanya memberikan persembahan terbaik, selebihnya menyerahkan kepada ketentuan rezeki.

"Saya langsung tidak terfikir untuk mencari kemenangan. Saya hanya mahu memberikan persembahan terbaik untuk membanggakan ibu bapa dan peminat. Itu sudah memadai untuk saya berpuas hati.

"Soal kalah dan menang, semua sudah tertulis. Saya hanya mampu berusaha dan menjaga kesihatan supaya dapat tampil maksimum pada malam bersejarah itu," katanya.

Sebelum ini, penyanyi seangkatannya, Khai Bahar dalam satu temu bual mengakui, Haqiem antara bakat baharu yang berpotensi besar untuk mara selesa pada kemuncak AJL 32 nanti.

Haqiem bagaimanapun, tidak menganggap laluannya mudah kerana setiap lagu dan penyanyi yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri.

"Selepas mendengar semula, saya akui semua lagu mempunyai potensi menang. Dari segi vokal, saya tidak berani meramalkan peluang apatah lagi terpaksa berdepan penyanyi senior seperti Dayang Nurfaizah.

"Tiga kali menjulang trofi Vokal Terbaik, sukar untuk menandingi kehebatannya. Begitu juga dengan Hazama yang mampu menafikan potensi peserta lain.

"Secara peribadi, saya agak takut dan berdebar kerana ini kali pertama saya bersaing di pentas besar. Saya ambil peluang ini untuk mencari pengalaman baharu, sekali gus mematangkan lagi langkah sebagai penyanyi," katanya.

Mengenai persembahannya pada malam AJL 32 nanti, Haqiem berkata, dia sudah merangka konsep tertentu dan hanya menanti masa untuk direalisasikan.

"Apa yang dapat saya katakan, konsep persembahan saya nanti akan menterjemahkan makna di sebalik lagu Tergantung Sepi," katanya.

Bertemakan Fesyen dan Muzik, AJL 32 akan dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, menggandingkan Sherry Al Hadad dan Alif Satar sebagai pengacara.

AJL 32 mempertandingkan 12 lagu iaitu Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Turut bersaing Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

2025 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »