Khamis, 25 Januari 2018 | 2:00pm
DATUK Farid Kamil dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, hari ini selepas didakwa memasukkan dadah ke dalam badan. - Foto Aizuddin Saad

Saya dan Diana baik-baik saja - Farid Kamil

PETALING JAYA: "Kami baik-baik saja... Tiada masalah antara kami."

Begitu reaksi pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, mengenai hubungannya dengan isteri, Datin Diana Danielle ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didakwa memasukkan dadah ke dalam badan.

Farid Kamil yang sekali lagi dihadapkan ke mahkamah selepas dituduh mencederakan anggota polis dan orang awam, minggu lalu, tampak tenang berdepan media dan menjawab soalan.

Dia turut meluahkan kesyukuran dapat mengubat rindu kepada anak-anak selain berterima kasih atas sokongan keluarga.

"Saya bersyukur ada isteri dan anak-anak bersama-sama dalam situasi begini. Mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan saya," katanya.

Ditanya kononnya dia membuat satu lagi laporan polis seperti yang tersebar semalam, Farid Kamil memberitahu:

"Buat masa ini, saya tidak dapat memberi penjelasan lanjut mengenainya kerana masih berada dalam siasatan.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti menyokong saya," katanya yang mengenakan seluar putih bersama baju kolar berwarna biru tua.

Ketika dihadapkan ke mahkamah, bintang filem Tombiruo dan Legenda Budak Setan itu ditemani adiknya, Fadzil Zahari manakala kelibat Diana, tidak kelihatan.

Terdahulu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Majistret Nor Ariffin Hisham.

Dia didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu '11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 4.30 petang, 11 Januari lalu.

Sehubungan itu, Farid Kamil menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Athari Bahardin.

Athari bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang ringan kerana tertuduh penanggung utama keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Nor Ariffin membenarkan Farid diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan semula kes.

17066 dibaca
Berita Harian X