Khamis, 18 Januari 2018 | 8:05pm
PELAKON, Zamarul Hisham. - Foto: Halim Salleh
ZAMARUL bersama isteri dan anak-anaknya.
ZAMARUL bersama isterinya.

Suami isteri kena bijak kawal emosi - Zamarul Hisham

KUALA LUMPUR: Pernah menggemparkan arena hiburan dengan kisah perceraian bersama isterinya, Diana Rafar, tiga tahun lalu, Zamarul Hisham mengambil iktibar daripada sejarah hitam itu.

Katanya, persefahaman antara suami isteri adalah sangat penting, selain perlu bijak mengawal emosi agar tidak terganggu dengan aura negatif.

Bahkan, tegasnya, hal peribadi seharusnya diselesaikan secara baik sebelum membabitkan campur tangan banyak pihak.

"Apa pun apabila berkahwin, suami dan isteri seharusnya faham dengan tugas masing-masing supaya tidak timbul sebarang isu. Buang secepat mungkin rasa negatif itu sebelum ia melarat menjadi lebih besar.

"Pengajaran daripada pengalaman lalu, saya mendidik diri sebaik mungkin supaya tidak mudah tewas dengan hasutan syaitan kerana ia mampu menjerumuskan kita kepada perkara tidak baik.

"Ia bukan saja harus diamalkan oleh pasangan yang sudah berkahwin, malah mereka yang bercinta juga boleh menggunakan pendekatan sama," kata Zamarul kepada BH Online.

Pasangan selebriti itu, yang disahkan bercerai talak satu pada 14 Februari 2015, rujuk semula selepas sebulan berpisah.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kerjaya, Zamarul, 46, berharap khabar angin kononnya kebanyakan tawaran lakonan kini dibuat berlandaskan populariti di media sosial adalah tidak benar sama sekali.

Bintang Blok 404 ini menjelaskan, pendekatan sebegitu adalah tidak adil bagi 'orang lama' seperti dirinya, di samping memberikan impak negatif terhadap kualiti sesebuah karya.

"Harapnya, bukan semua penerbit dan pengarah menggunakan media sosial sebagai pengukur untuk memberikan tawaran menjayakan sesuatu watak. Kalau begitu, apa yang tinggal buat orang lama seperti saya yang tidak ramai pengikut di media sosial?

"Tidak semestinya jumlah pengikut yang ramai itu dapat menentukan sama ada mesej cuba disampaikan berjaya. Kadang kala, perkara sebegini tidak dapat diduga kerana mungkin orang lama dapat memberikan impak dan komitmen yang lebih jitu," katanya.

2743 dibaca
Berita Harian X