Ahad, 14 Januari 2018 | 3:20pm
DATUK Farid Kamil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Rakan artis beri sokongan pada Farid

KUALA LUMPUR: Insiden penahanan Datuk Farid Kamil selepas dipercayai menampar anggota polis dan menendang orang awam beberapa hari lalu, turut mendapat perhatian rakan artis.

Terkesan dengan nasib menimpa pelakon yang juga seorang pengarah itu, masing-masing tampil memberikan sokongan kepadanya menerusi kata semangat. Selain itu, mereka turut mendoakan isteri aktor berkenaan, Datin Diana Danielle, tabah menghadapi ujian.

Menerusi perkongsian di laman sosial mereka, kebanyakan daripada selebriti terbabit turut menggesa netizen supaya tidak cepat menjatuhkan hukuman atau menghentam Farid dalam keadaan yang sukar itu.

"Setakat yang saya kenal, pasangan ini adalah orang yang baik. Kedua-duanya pernah berada di bawah arahanku," kata pengarah dan pelakon, Khir Rahman.

Pelakon, Sharnaaz Ahmad, pula meluahkan rasa kesal terhadap netizen yang tanpa henti menghentam Farid, selain geram dengan tindakan individu menyebarkan gambar Farid dalam keadaan tidak terutus selepas ditahan.

"Apa pun isu Farid Kamil, kepada individu yang membocorkan gambar itu, semoga anda dibuka aib pula satu hari kelak.

"Farid adalah hero pertama (ketika) saya mula berlakon dalam industri ini dan dia seorang yang sangat baik. Apa yang ingin saya katakan, saya sendiri melakukan banyak kesalahan, bergaduh, bertumbuk, masuk mahkamah dan kena denda. Tetapi, siapakah anda atau saya untuk menghukum? Manusia melakukan kesalahan dan boleh dihukum tetapi bukan mengaibkan.

"Farid, aku tahu kau bukan orang yang begini. Kami kawan-kawan akan sokong kau walau apa cara pun. Kami doakan semoga Allah permudahkan dan ringankan dugaan kau dan keluarga," katanya.

Dalam pada itu, pelakon dan pengacara, Fizo Omar, mengajak semua pihak mendoakan agar Farid serta Diana dipermudahkan untuk melalui dugaan berkenaan.

Pada masa sama, Fizo sedih apabila membaca komen netizen yang dianggapnya bersikap melulu dalam menghentam Farid.

"Setiap hamba-Nya diuji mengikut kemampuan masing-masing. Kita tidak tahu tahap mana kemampuan kita? Ukurannya adalah berdasarkan ujian yang diberikan oleh-Nya kepada kita. Hanya yang kuat akan diberikan dugaan yang setahap dengannya.

"Dugaan dan kejayaan adalah dua sahabat baik. Mereka tidak akan berpisah. (Apabila) Hadirnya dugaan, percayalah kejayaan sedang menunggu di hadapan.

"Cabaran kita semua berbeza. Anda tahu ke esok lusa apa cabaran untuk kita pula? Maaf, saya sedih apabila tengok netizen 'bantai' Farid bertalu-talu. Apa perasaan isteri, anak-anak dan keluarganya? Mereka salah ke? Anda pernah fikir?

"Kalau betul dia buat salah sekalipun, adakah dia minta semua ini? Mengenali Farid, dia sangat santai, penyayang dan bertanggungjawab. Jadi, kalau tiada sesuatu yang tersilap, saya percaya dia takkan berbuat demikian.

"Pasti (ada) sesuatu yang tidak kena, yang kita semua tidak tahu. Tahu nak 'bantai' saja, seolah-olah dia tidak pernah melakukan kebaikan. Hari ini hari dia, esok lusa, hari kita pula," katanya.

Sementara itu, beberapa selebriti lain termasuk Lisa Surihani, Sofi Jikan, Izara Aishah, Zul Ariffin, Sharifah Amani, Osman Ali, Azad Jazmin dan Nelydia Senrose turut memberi sokongan dan doa buat Farid serta keluarganya.

10001 dibaca
Berita Harian X