Ahad, 14 Januari 2018 | 1:23pm
PELAWAK, pelakon dan penyampai radio, Ajak, kini turut menggalas tugas sebagai pengacara Melodi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Ajak reda dikritik 'kayu'

KUALA LUMPUR: Pelawak, Ajak (Shiro), bersikap terbuka apabila dirinya dihentam sebagai 'kayu' ketika julung kali mengendalikan program hiburan Melodi bersama Janna Nick, Ahad lalu.

Ajak atau nama penuhnya, Mohd Hanaffi Razak, 32, bagaimanapun berkata netizen tidak patut membandingkan beliau yang baru mengacara program itu dengan hos sebelumnya, Awal Ashaari.

"Tidak adil rasanya untuk membandingkan saya yang tidak sampai 30 minit mengendalikan Melodi dengan Awal. Dia sudah enam tahun mengacarakan rancangan ini.

"Berilah saya peluang untuk mengasah kemahiran pengacaraan. Insya-Allah, saya akan menjadi hos yang lebih baik.

"Kalau mahu mengkritik juga, janganlah sampai menghina keluarga atau menggunakan kata-kata kesat," katanya kepada BH Online.

Ahad lalu, Ajak dan Janna menerima kritikan netizen yang menganggap beliau kaku atau 'kayu' biarpun mengacarakan program hiburan popular itu tidak sampai sejam.

Begitupun, ketika rancangan itu sedang berlangsung, kedua-dua artis terbabit bersikap terbuka dan memohon untuk diberikan peluang bagi membolehkan mereka memperbaiki mutu pengacaraan masing-masing.

Ajak juga berkata, beliau dan Janna akan tetap membaca ruangan komen di Instagram supaya lebih mudah untuk mereka meningkatkan keupayaan diri.

Sementara itu, Ajak menyifatkan tahun 2018 sebagai permulaan yang baik untuknya, lebih-lebih lagi beliau akan sibuk dengan program siaran langsung sebanyak tujuh kali setiap minggu.

Ajak berkata, beliau bersiaran langsung di radio Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat bagi segmen pagi, Melodi (12.30 tengah hari, Ahad) dan Bintang Bersama Bintang (9 malam, Ahad).

"Memandangkan ada tujuh siaran langsung, saya akan memastikan dapat berehat pada Sabtu dan meluangkan masa bersama keluarga," katanya.

Beliau berkata keluarga dan kerjaya perlu diberi tumpuan yang seimbang.

2605 dibaca
Berita Harian X