Sabtu, 13 Januari 2018 | 12:00pm
Penyanyi, Asfan Shah atau nama sebenarnya Norasfan Shah Shah Rudin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Asfan berguru dengan dua Fauziah

KUALA LUMPUR: Selepas mengukuhkan nama sebagai penyanyi, Asfan Shah merancang kembali berlakon, dan langkah itu dimulakan dengan mendapatkan tunjuk ajar pelakon berpengalaman, iaitu Fauziah Ahmad Daud dan Fauziah Nawi.

Pemilik nama sebenar Norasfan Shah Shah Rudin, 33 itu berkata, dia yakin meneroka semula bidang yang pernah dicuba buat kali pertama pada 2012 kerana sudah lebih bersedia.

"Saya pernah bergandingan dengan Hanis Zalikha dalam sebuah telemovie terbitan Astro, kira-kira tujuh tahun lalu. Selepas itu, tumpuan lebih terarah kepada nyanyian.

"Selepas mengukuhkan nama sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penerbit, saya mula terfikir untuk menyahut cabaran dalam bidang lakonan.

"Saya tidak mahu hadir dalam bidang itu dengan tangan kosong, sebaliknya mencari guru berpengalaman yang boleh 'menggali' bakat lakonan saya," katanya yang sudah mula menghantar profil ke beberapa syarikat produksi.

Akui pelantun lagu Alasan Untuk Bahagia itu lagi, 2018 diharap terus membuka laluan untuk kelancaran urusan dalam setiap cabang kerjaya seni yang diterokainya.

Apatah lagi kata Asfan, permulaan tahun ini bakal melakar sejarah peribadi menerusi penerbitan album baharu disusuli perancangan merealisasikan persembahan akustik sulung.

"Kesibukan saya mungkin berganda pada 2018 dengan pelancaran album, promosi, persembahan akustik dan lakonan, tetapi saya sudah bersedia mencabar diri.

"Saya anggap diri bertuah kerana single Sumpah Cintaku semakin mendapat tempat, malah turut diangkat sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Titian Cinta.

"Semua ini rezeki anak-anak. Apabila ahli keluarga semakin bertambah, semangat mahu terus memajukan diri mendorong kita supaya lebih berani dan kuat," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

528 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »