Jumaat, 12 Januari 2018 | 10:16pm
IBU Datin Diana Danielle, Norsiah Ramli. - Foto ihsan Instagram Norsiah Ramli

Ibu mentua Farid Kamil kecewa

KUALA LUMPUR: Ibu Datin Diana Danielle, Norsiah Ramli kecewa apabila ada pihak menganggapnya menjadi penghalang Datuk Farid Kamil bertemu dua anaknya.

Norsiah berkata, beliau tidak pernah melarang atau menghalang Farid daripada bertemu Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, yang juga tinggal bersamanya ketika pelakon berkenaan dan Diana keluar bekerja.

"Saya sedih apabila keluar kenyataan mendakwa Farid merindui anak-anaknya. Kenyataan itu seolah-olah saya menjadi penghalang Farid bertemu anaknya sehingga menyebabkan dia tertekan.

"Tiada sebab untuk saya berbuat demikian kerana mereka adalah darah dagingnya. Saya hanya memegang amanah menjaga cucu dan tidak pernah mencampuri urusan peribadi Farid serta Diana," katanya.

Norsiah berkata, Diana dan Farid tinggal di tingkat atas kediamannya di sebuah bangunan kondominium dan mereka bebas untuk menjenguk atau mengambil Muhammad dan Nur Aurora.

"Saya juga sering berulang-alik ke rumah mereka mengambil barang cucu. Ada juga saya bertemu Farid di rumahnya," kata Norsiah yang mengakui terkejut mendapat tahu Farid tertekan kerana merindui dua anaknya itu.

Mengenai penahanan menantunya oleh polis, Norsiah menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan. Saya tidak mahu mencampuri urusan mereka," katanya.

Pagi tadi, Farid yang dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, direman empat hari sehingga Isnin ini.

Perintah dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir terhadap pelakon berusia 37 tahun itu, bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Pelakon dan pengarah terbabit ditahan polis jam 1.20 tengah hari kelmarin selepas secara tiba-tiba dikatakan menampar muka petugas polis lelaki berusia 24 tahun sambil disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Dia sebelum itu dilaporkan ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kes kemalangan jalan raya.

61403 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »