;
Rabu, 10 Januari 2018 | 4:00pm
DARI kiri: Tam Spider, Siti Sarah, Zarul dan Misha. - Foto NSTP

Mentor Otai cari bakat lebih berusia

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan penganjuran sebelum ini, program realiti popular siaran TV3, Mentor, bakal kembali untuk musim terbaru dengan memberikan ruang buat peserta berusia antara 35 hingga 55 tahun menonjolkan bakat nyanyian.

Dikenali sebagai Mentor Otai, rancangan yang dijangka menemui penonton pada Mac depan itu akan menampilkan empat penyanyi terkenal iaitu Misha Omar, Siti Sarah, Zarul Husin dan Tam Spider sebagai mentor.

Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Zurina Othman, kali ini peluang diberi kepada mereka yang dianggap sudah berusia mengejar impian dalam bidang seni suara.

"Program Mentor selama ini sudah mendapat tempat di hati masyarakat, terutama dalam mencungkil bakat nyanyian terpendam.

"Namun, sebelum ini penyertaannya dibuka kepada golongan belia. Justeru, tahun ini, TV3 memperkenalkan Mentor Otai bagi memberi ruang kepada mereka yang pernah dan masih mempunyai impian menjadi penyanyi.

"Peluang ini tidak harus dilepaskan mereka yang sentiasa bercita-cita mencipta nama dalam industri hiburan tanah air. Barisan mentor kami yang sememangnya cukup berpengalaman, akan membimbing protege masing-masing sehingga bergelar penyanyi," katanya.

Uji bakat akan diadakan di Hotel Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya, pada 27 dan 28 Januari serta 3 dan 4 Februari depan.

Perlu berusia dalam lingkungan 35 hingga 55 tahun dan berbakat dalam nyanyian, peserta uji bakat juga dikehendaki hadir dengan berpakaian kemas serta membawa salinan lagu minus one (cakera padat).

"Mereka tidak boleh terikat atau diuruskan oleh mana-mana syarikat rakaman dan agensi bakat sebelum serta selepas program Mentor Otai," kata Zurina.

13534 dibaca
Berita Harian X