Khamis, 12 Oktober 2017 | 11:51pm
NITA Hamzah di Empire Hotel Subang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Hadirlah Cinta harapan Nita

SUBANG JAYA: Penyanyi, Nita Hamzah, tidak pernah berputus asa dalam usaha mengukuhkan namanya di persada seni muzik tempatan.

Nita, 37, berkata muzik sudah menjadi minatnya sejak kecil dan beliau percaya, rezeki akan tetap berpihak kepadanya satu hari nanti.

"Kalau nak cakap soal putus asa, sudah lama saya berbuat demikian. Namun perkataan itu tidak pernah wujud dalam hidup saya.

"Apatah lagi memiliki ibu yang sentiasa memberikan sokongan moral, ia membuatkan saya tidak mudah mengalah.

"Saya yakin, rezeki sentiasa berpihak kepada kita jika disertakan dengan usaha," katanya yang ditemui pada sidang media Versus 1001 Rasa Baba's di sini.

Ekoran itu, Nita bakal menampilkan single baharu, Hadirlah Cinta, sebagai tanda kemunculan semula beliau selepas lama menyepi daripada industri seni.

Lagu pop itu masih dalam pembikinan dan bakal dilancarkan pada hujung tahun ini.

"Sebenarnya, saya masih menerima jemputan nyanyian untuk acara korporat mahupun karnival. Cuma, nama saya agak sepi di arus perdana.

"Meskipun sukar mendapat tempat dalam industri, saya yakin lagu ciptaan Sharon Paul dan Iman Imran itu akan diminati ramai. Apa yang penting, saya percaya pada rezeki," katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman dirinya menjadi tunang orang sejak Ogos lalu, Nita mengakui dapat berasakan dugaan yang dilalui bersama buah hatinya, Mohd Fareez Shamsul Bahari, 29.

"Tak sangka, memang wujud dugaan waktu bertunang ini. Pernah sekali kami bergaduh sepanjang seminggu kerana perkara remeh.

"Tak pastilah sama ada saya yang terlebih emosi, tetapi setiap hari ada saja perkara yang nak dijadikan isu," katanya berseloroh.

Pasangan itu belum lagi menetapkan tarikh untuk menaiki pelakon, namun mereka dijangka bakal diijabkabulkan pada awal tahun depan.

1621 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »