Khamis, 12 Oktober 2017 | 12:21pm
AIZAT Amdan pada sidang media sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017. - Foto Zunnur Al Shafiq

Aizat gundah bapa diserang angin ahmar

PETALING JAYA: Penyanyi, Aizat Amdan, bimbang dengan keadaan bapanya yang terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Jumaat lalu.

Aizat, 28, berkata bapanya, Datuk Amdan Mat Din, dimasukkan ke HKL akibat strok pada bahagian otak kiri, menyebabkan sebelah kanan badannya lumpuh.

"Ayah sekarang sedang tenat di ICU dan sebelah kanan badannya lumpuh.

"Kini, dia hendak bercakap pun susah. Sudah tentu saya sedih melihat keadaannya ketika ini, justeru saya sanggup lakukan apa saja demi insan yang amat saya sayangi.

"Insya-Allah, dalam minggu ini ayah akan keluar wad, melihatkan tindak balasnya yang semakin baik. Mungkin dia akan dipindahkan ke hospital lain, berdekatan dengan rumah keluarga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran World Mental Health Day 2017, di sini.

Aizat yang juga seorang komposer berkata, sejak bapanya sakit, semua jadual kerjanya diubah bagi membolehkan beliau berada di sisi ayahnya itu.

Bintang kelahiran program Akademi Fantasia ini turut membatalkan penerbangannya ke Turki, minggu ini, bagi menjalani penggambaran sebuah program.

Penyanyi lagu Hanya Kau Yang Mampu ini berkata, beliau seboleh-bolehnya ingin sentiasa berada di samping bapanya dalam keadaan yang sukar itu.

"Saya bukannya pakar mengenai penyakit strok. Saya hanya mampu berdoa dan cuba memberikan semangat serta menceriakan dirinya.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga saling membantu antara satu sama lain," katanya.

Menurut Aizat, dalam kesibukan menyiapkan album baharu yang dijangka menemui peminat pada tahun depan, beliau turut mencipta beberapa lagu, khas buat bapanya.

3131 dibaca
Berita Harian X