Khamis, 12 Oktober 2017 | 11:58am
PENYANYI, Maya Matahari. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Maya tak pergi uji bakat GV4

KUALA LUMPUR: Tiga kali mencuba nasib namun kecundang, Maya Matahari menjelaskan dia tidak menghadiri sesi uji bakat musim keempat program realiti, Gegar Vaganza (GV).

Maya memberitahu, dia reda rezeki untuk bersaing di pentas GV tidak kesampaian.

"Saya nak jelaskan tidak timbul soal saya disenarai hitam atau apa saja yang mungkin difikirkan peminat.

"Tiga kali saya pergi ke sesi uji bakat GV dari musim pertama lagi... Ternyata ia bukan rezeki saya," katanya kepada BH Online.

Maya mengaku dia dihujani pertanyaan pengikut laman sosial mengenai ketiadaan namanya dalam senarai peserta GV4 yang diumumkan di ibu negara, kelmarin.

"Jangan pening kepala, saya tak pergi pun sesi uji bakat GV4. Namun, saya percaya, ada hikmah di sebalik semua ini.

"Album keempat saya dalam proses pembikinan di mana satu persatu single akan dirakamkan... Ini semua perancangan Allah," katanya.

Maya yang popular dengan lagu Matahari berkata, projek album terbaharunya itu ditunjangi komposer dan penyanyi, Tam Spider.

"Saya akan masuk studio tidak lama lagi untuk merakamkan single. Sekarang saya menunggu Tam untuk menyiapkan susunan lagu yang belum diberi judul.

"Malah, saya bersyukur kerana sering mendapat nasihat daripada pihak pengurusan Indigital Music mengenai karier saya," katanya.

Maya atau nama penuhnya, Meyanaliza Ruslee pernah merakamkan album pertama berjudul Matahari disusuli Diari Biru 2 dan Mata.

Kelmarin, penerbit GV4 mengumumkan peserta musim terbaharu program realiti itu antaranya Liza Hanim, Aishah, Hazami, Syura, Elyana, Raja Azura, dan Aqasha.

Buat pertama kalinya, penyanyi Indonesia, Firman Siagian yang popular dengan lagu Kehilangan dan Ferhad berasal dari Singapura, turut terpilih sebagai peserta GV4.

Konsert mingguan GV4 bakal disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, mulai 29 Oktober depan.

11280 dibaca
Berita Harian X