Rabu, 13 September 2017 | 5:11pm
NOH Salleh menunjukkan Album terbarunya ketika majlis pelancaran di Warner Music Malaysia, Mutiara Damansara. - Foto Khairull Azry Bidin

Noh Salleh promosi album di pasar malam

PETALING JAYA: Lokasi unik dan 'hipster' termasuk pasar malam menjadi pilihan penyanyi, Noh Salleh untuk mempromosikan album Angin Kencang yang dipakej semula.

Noh memberitahu, lokasi yang sering dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat amat sesuai dengan konsep persembahannya yang santai.

"Saya memilih lokasi ini kerana lebih mendekatkan diri saya dengan peminat serta dapat berinteraksi secara langsung dengan mereka.

"Lagipun, tempat seperti ini sering dikunjungi masyarakat terutama remaja," katanya pada sidang media di pejabat Warner Music Malaysia, di sini.

Album Angin Kencang yang pertama kali dilancarkan pada 2014, dipakej semula dan dipasarkan ke luar negara termasuk Indonesia.

Noh berkata, persembahannya di setiap lokasi akan diiringi gitar akustika.

"Peminat juga boleh mendapatkan album Angin Kencang ketika sesi jelajah diadakan," katanya.

Hari ini, Noh akan bertandang ke Pasar Karat di Johor Bahru yang menjadi lokasi pertama siri jelajahnya.

Suami Mizz Nina itu juga akan membuat persembahan di Taming Sari, Melaka, Khamis ini dan Padang Kota Lama, Pulau Pinang, Sabtu ini.

Noh akan menamatkan siri jelajahnya di Gerbang Malam, Ipoh, Ahad ini.

Mengenai penjualan album Angin Kencang di Indonesia, Noh berpuas hati produknya itu sudah dijual lebih 1,000 unit yang disifatkannya suatu pencapaian membanggakan.

1176 dibaca
Berita Harian X