Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:29pm
PELAKON, Shaheizy Sam. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Saya bukan penjenayah nak larikan diri

KUALA LUMPUR: Pelakon Shaheizy Sam hairan dengan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiarkan notis muflis yang memaparkan data peribadinya di akhbar tempatan, Isnin lalu sehingga viral di laman sosial.

Sam mendakwa, alasan pegawai LHDN tidak dapat menghubunginya dianggap tidak munasabah kerana pernah berurusan menerusi e-mel.

"Saya bukan penjenayah nak larikan diri. Membayar cukai menjadi tanggungjawab saya, malah ada rekod mengenainya. Saya rasa seperti dianiaya dan disabotaj.

"Tiada istilah mereka tak boleh cari saya. Saya bukan kerja pejabat dari jam 9 pagi sampai 5 petang. Saya berlakon tak tentu masa dan ada hari saya tiada di rumah," katanya kepada BH Online.

Bintang Polis Evo itu juga kesal dengan tindakan LHDN mendedahkan data peribadi seperti nombor kad pengenalan dan alamat rumahnya.

"Saya tak pasti apa motif mereka. Mungkin juga ini cara mereka menggunakan orang berpengaruh seperti saya untuk menyedarkan masyarakat supaya membayar cukai.

"Sejak mula berlakon lagi, saya sudah melaksanakannya. Tak perlu risau. Kali terakhir mereka datang ke rumah pada 9 Mei lalu ketika anak sulung dilahirkan dan saya berada di hospital. Saya umumkan hal itu di laman sosial.

"Dua tiga minggu sebelum notis itu dikeluarkan, beberapa wakil LHDN datang ke rumah dan menyerahkan borang CP 500. Kenapa mereka tak maklumkan hal berbangkit? Kenapa pilih guna surat khabar pula?," katanya.

Sam mendakwa, hingga hari ini dia dan ejen cukai dilantik masih menunggu penjelasan sebenar berhubung notis muflis terbabit.

"Hingga sekarang saya masih tidak tahu berapa amaun yang perlu dibayar kerana sedang membuat penilaian semula. Sebelum ini, saya bayar cukai tanpa membuat pengecualian. Salahkah ambil masa kali ini untuk membuat tuntutan itu?," katanya.

18116 dibaca
Berita Harian X