Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:43pm
KUMPULAN Hijjaz terpilih untuk membuat persembahan pada malam penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Hijjaz terpilih serikan penutup KL2017

KUALA LUMPUR: Kumpulan Hijjaz menerima penghormatan sebagai penyanyi nasyid tunggal terpilih untuk membuat persembahan pada malam penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 30 Ogos ini.

Jurucakap Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, tawaran yang diterima membuktikan penganjur, khususnya kerajaan tidak mengetepikan artis nasyid pada acara penuh berprestij itu.

"Kami bersyukur diberikan Allah peluang ini, malah menyifatkannya sebagai pengiktirafan apabila menjadi wakil kepada penggiat industri nasyid untuk menghiburkan tetamu terutama atlet dari Asia Tenggara.

"Sudah tentu pengalaman ini mencatat sejarah peribadi buat kami. Secara tidak langsung, kami juga menjadi duta kecil kepada negara yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi," katanya.

Hijjaz yang ditubuhkan pada 1997 turut dianggotai Munif Ahmad; Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Selain Hijjaz, segmen persembahan artis turut dimeriahkan dengan kemunculan Dayang Nurfaizah yang membawakan lagu tema iaitu Bangkit Bersama.

Turut terpilih menjayakan persembahan pada malam penutup itu adalah kumpulan rock legenda, Amy Search, Alleycats dan Black.

Isman berkata, Hijjaz sudah mula melakukan persiapan asas sejak menerima tawaran bulan lalu, termasuk menjaga kesihatan supaya persembahan mereka nanti berjalan lancar.

"Walaupun hanya muncul dalam segmen selama tiga minit, kami tetap melakukan persiapan rapi kerana membawa nama negara.

"Kami mendapat kepercayaan membawakan lagu Puji-Pujian nyanyian asal kumpulan Raihan yang diberi susunan muzik baharu oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito," katanya.

1386 dibaca
Berita Harian X