Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:41pm
AKTOR antagonis Bollywood, Gulshan Grover. - Foto Shawal Azani

'Badman' Bollywood bangga dengan produksi Malaysia

KUALA LUMPUR: Aktor antagonis Bollywood, Gulshan Grover, 61, melihat pembabitannya dalam produksi terbitan Malaysia, I'm Not A Terrorist sebagai pencapaian yang membanggakan industri perfileman antara kedua-dua negara.

Filem arahan pengarah muda, Arjin Uppal itu mencipta sejarah baharu dalam industri perfileman negara apabila menjadi syarikat produksi pertama menampilkan tiga pelakon legenda Bollywood iaitu Gulshan, Farida Jalal dan Rahul Dev dalam filem Melayu.

Produksi yang menelan belanja lebih RM7 juta itu turut membariskan pelakon Malaysia seperti Afiq Muiz, Chacha Maembong, Kapten Khir Mohd Noor, Betty Banafe dan Datuk Jalaluddin Hassan. Proses penggambarannya berlangsung di negara ini dan Kashmir, India pada tahun lalu.

Ia bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara dan India serentak pada 5 Oktober ini.

Bintang legenda kelahiran New Delhi itu berkata, dia bersetuju membintangi filem itu bukan hanya kerana karakter Abu Zar yang dilakonkan, malah cenderung melihat kerjasama yang terjalin untuk industri perfileman.

"Atas kerjasama erat dua negara, saya percaya I'm Not A Terrorist mencatat kenangan indah apabila menampilkan pelakon Bollywood dalam filem Melayu," katanya.

Gulshan hadir di ibu negara sempena majlis pelancaran trailer filem itu yang dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Aktor yang sudah membintangi lebih 400 filem Bollywood dan Hollywood itu turut menyifatkan kerjasama yang terjalin sebagai pengalaman baharu buatnya.

Sebelum ini, aktor yang terkenal dengan gelaran 'Badman' dalam industri perfileman Bollywood itu pernah beraksi dalam filem Perancis, Jerman, Australia, Kanada, Iran dan banyak lagi.

"Cara bekerja dan persekitaran setiap negara berbeza. Saya tidak melihat perbezaan itu sebagai masalah, sebaliknya seronok bekerja dengan syarikat perfileman dari negara berlainan.

"Arjin sebagai pengarah, biarpun masih muda tetapi memiliki idea yang bernas. Cara pengarahannya juga jelas dan teratur. Dia melakukan kerja yang hebat, meskipun penggambaran dijalankan di wilayah bergolak dan berisiko.

"Syukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Apa yang saya dapat katakan, penduduk Kashmir sangat baik, penyayang, malah menyokong pembikinan filem ini," katanya.

Berita Harian X