Jumaat, 11 Ogos 2017 | 5:40pm
BEKAS juara program MasterChef Selebriti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Fazley duta pelancongan halal ke Taiwan

KUALA LUMPUR: Bekas juara program MasterChef Selebriti Malaysia, Datuk Fazley Yaakob teruja apabila dipilih sebagai Duta Pelancongan Halal ke Taiwan.

Menurutnya, pelantikannya itu baru-baru ini dilihat seiring dengan kecenderungan beliau untuk berkongsi pelbagai maklumat, ilmu dan pengalaman dalam bidang yang diceburinya.

Selain dikenali dalam bidang masakan, Fazley, 39, juga bergelar penyanyi, pelakon, pengacara televisyen dan penceramah motivasi.

Menurut Fazley, beliau cukup gembira dengan pelantikan berkenaan yang bertujuan menggalakkan pelancongan halal di Taiwan, sekali gus menepis sebarang perasaan kurang yakin, ketidakselesaan, was-was atau keraguan pelancong dari luar untuk melawat ke negara berkenaan.

"Masih ramai yang tidak tahu ibu kota Taiwan, Taipei, sebenarnya menyediakan banyak kemudahan untuk orang Islam, terutama makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat serta penyediaan sejadah dan tandas awam bersesuaian kegunaan kita.

"Lebih daripada itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan untuk mencari restoran atau kafe halal di sana.

"Secara keseluruhan, Taiwan ialah negara yang mesra pelancongan halal. Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk menggalakkan pelancongan di negara itu, bukan saja kepada rakyat di Malaysia, malah Singapura, Indonesia dan Brunei," katanya.

Baru-baru ini, personaliti terbabit turut berkunjung ke sana bersama wakil media negara ini. Di sana, mereka dapat menyaksikan sendiri detik bersejarah Fazley dilantik sebagai duta pelancongan berkenaan.

Selain itu, mereka sempat berkunjung ke beberapa lokasi pelancongan menarik di negara itu seperti Tea and Rice Resort, Leofoo Village Theme Park, Yehliu Geopark dan banyak lagi.

Fazley berharap pelantikan berkenaan dapat menjadi pembuka pintu lebih luas untuk orang ramai bertanya sebarang soalan atau permasalahan berkaitan pelancongan halal di negara itu.

"Peminat boleh bertanya terus kepada saya di semua medium laman sosial seperti Instagram, Facebook atau Twitter (@fazleyyaakob). Tidak perlu berasa malu atau segan. Insya-Allah, saya cuba menjawab setiap pertanyaan anda.

"Sebagai duta, saya ibarat pemandu pelancong kepada ramai pengembara. Kebelakangan ini, ramai yang bertanya kepada saya mengenai tempat bersesuaian untuk dilawati di sana.

"Kalau hendak tahu, ada beberapa restoran yang menggunakan dapur khas apabila mereka mengetahui anda beragama Islam. Tukang masak mereka akan menggunakan perkakas seperti kuali, senduk, sudu, garpu atau pinggan mangkuk berbeza daripada pelanggan lain.

"Hakikatnya, semua ini sudah lama dilakukan oleh pentadbiran kerajaan di Taiwan. Cuma yang pasti, ia masih serba baru untuk saya kongsi bersama orang ramai," katanya.

Pelantikan anak kelahiran Negeri Sembilan ini sebagai duta bermula secara lisan beberapa bulan lalu. Fazley sendiri pernah beberapa kali terbabit dalam program anjuran Biro Pelancongan Taiwan, termasuk menyertai program pertandingan masakan bersama chef di negara terbabit untuk siaran TV9.

326 dibaca
Berita Harian X