Khamis, 27 Julai 2017 | 12:01am

Lisdawati tak kisah berlakon jadi nenek

KUALA LUMPUR: Impak lakonannya sebagai ibu dalam drama rantaian, Hero Seorang Cinderella (HSC), Lisdawati mula meraih perhatian ramai.

Berusia 39 tahun dan masih cantik, ramai memperkatakan watak Lisdawati sebagai Ayana iaitu ibu kepada Nura Medina lakonan Fazura dan Noah Farizzam yang dibawa bakat baharu, Fikri Ibrahim.

Peminat menganggap watak Ayana tidak sesuai mengambil kira perbezaan umur mereka, apatah lagi usia Lisdawati dan Fazura hanya berbeza enam tahun.

Tidak cukup itu, ada kata-kata nakal yang membandingkan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, dengan bintang jelita, Erra Fazira berhubung tawaran watak ibu.

Tua empat tahun daripada Lisdawati, Erra yang berusia 43 tahun, tidak pernah menerima tawaran watak ibu dalam filem berbanding Lisdawati yang lebih muda.


LISDAWATI. - Foto Aziah Azmee

Malah, ketika BH Plus menemuramah Lisdawati pada majlis rumah terbuka syarikat produksi, Global Station di ibu negara, baru-baru ini, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam yang kebetulan berada di majlis sama, menyampuk lalu menyebut soal watak ibu yang sering dibawa Lisdawati.

Seloroh Yusof: "Lawa lawa macam ini pun sudah pegang watak emak. Erra Fazira yang 43 tahun pun tak pegang watak mak. Awak yang baru 39 tahun pun sudah jadi mak," katanya.

Membalas usikan itu, Lisdawati memberitahu, dia mahu mencabar diri dengan menerima tawaran watak ibu.

Lisdawati memberitahu, watak ibu dalam HSC bukanlah yang pertama dilakonkannya. Pada 2013, isteri kepada Fauzi Nawawi ini pernah melakonkan watak ibu menerusi drama Derhaka Seorang Madu bergandingan dengan Azhan Rani yang menjadi suaminya.


LISDAWATI kini berusia 39 tahun dan masih cantik. - Foto Aziah Azmee

"Jika mengambil kira drama panjang, sudah dua kali saya jadi ibu iaitu dalam HSC dan Derhaka Seorang Madu. Bagi telefilem pula, sudah beberapa kali saya jadi ibu.

"Saya sudah biasa jadi ibu. Di alam realiti pun saya ada tiga anak kandung dan empat anak tiri. Tidak susah meyakinkan penonton untuk menjadi ibu.

"Sebagai pelakon, saya percaya mereka perlu bersedia melakonkan apa saja watak. Itupun kalau mereka rasa nak berlakon. Tak saya nafikan, ada pelakon yang nak 'kekal muda' dan tak mahu watak ibu. Bagi saya, itu senario biasa," katanya.

Tambah Lisdawati, dia hanya mahu mencari nafkah dengan berlakon.

"Saya nak cari makan. Jadi, terimalah apa saja mandat yang diberi pengarah dan pihak produksi. Jika watak itu masih sesuai dengan status saya termasuk bertudung, saya tak boleh terlalu memilih," katanya.

Kagum dengan Jasmin Hamid


LISDAWATI menyifatkan dia mahu mencabar diri dengan menerima tawaran watak ibu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pernah menghangatkan dunia lakonan apabila sering dipilih melakonkan watak heroin pada zaman kegemilangannya, bintang filem KL Menjerit dan Black Maria ini sedar zaman itu sudah berlalu.

"Saya tak nafikan andai wujud tanggapan tawaran untuk saya jadi heroin seperti dulu sudah berlalu. Namun, sebenarnya, watak heroin atau utama tak semestinya untuk pelakon muda saja. Pasti ada watak heroin untuk wanita seusia saya.

"Sebagai contoh, takkan watak anak dara tua (andartu) diberi kepada pelakon muda. Tentu pelakon yang berusia lewat 30-an atau awal 40-an boleh dapat peluang berlakon jadi andartu," katanya.

Lisdawati berkata, pelakon yang mahu mencabar diri, perlu menerima tawaran seumpama itu.

"Dalam hal ini, saya kagum dengan pelakon, Jasmin Hamid kerana boleh menghidupkan apa saja watak yang diberi. Jasmin boleh berlakon dengan pelakon sebaya yang menjadi anaknya dalam sesebuah cerita," katanya.

Tambah Lisdawati, sebagai pelakon, dia perlu membezakan karakter tua dan muda yang dilakonkan.

"Kalau watak remaja, daripada segi tingkah laku, cara berjalan dan bercakap pasti berbeza dengan watak emak. Watak emak tak boleh pakai baju sendat. Suara untuk watak mak pun tak boleh pamerkan vokal nyaring, sebaliknya kena guna suara asas. Pendek kata, kita kena peka dalam membezakan watak tua atau muda," katanya.

Lisdawati berkata, tidak pernah timbul isu dia tidak menerima watak tua.

"Saya tidak kisah jika diberi watak sebagai kakak dan ibu. Malah, jika ditawarkan karakter nenek kebayan sekali pun saya sedia menimbangkannya jika jalan cerita menarik," katanya.

Jual baju pengantin

Drama HCS menjadi isyarat kembalinya Lisdawati dalam dunia lakonan selepas hampir tiga tahun menyepi.

"Selepas saya mengandungkan anak ketiga, memang kerjaya seni agak perlahan. Saya pula tidak menggunakan khidmat pembantu rumah, lalu saya banyak menyepi.

"Rezeki datang apabila Michael Ang menawarkan watak dalam HCS. Ketika menawarkan watak ibu, Michael Ang bertanya apakah saya benar-benar pasti mahu melakonkan watak berkenaan. Ini kerana Michael tahu ada yang pelakon tak mahu pegang watak emak," katanya.

Sepanjang tempoh menyepi, Lisdawati membuka butik pakaian di Setapak.

"Selain menjual baju dan tudung, saya juga aktif menghasilkan pakaian perkahwinan, gaun makan malam dan macam-macam lagi. Tapi itu bukan bererti saya nak jadi pereka fesyena. Hendak jadi pereka perlu ada idea, keyakinan dan khayalan tinggi," katanya.

Biodata

Nama sebenar: Nisdawati Nazaruddin

Nama komersial: Lisdawati

Umur: 39 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Suami: Fauzi Nawawi (berkahwin pada 2007)

Drama: Suria Di Cordoba, Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Ya Solihin dan Hero Seorang Cinderella

Filem: Syaitan (2007), Chermin (2007), Santau (2009) dan Songlap (2011).

Berita Harian X