Khamis, 20 Julai 2017 | 1:21pm
HISYAM (dua dari kanan) bersama barisan pelakon drama bersiri Dosa.
ASHRAF Sinclair, Datuk M Nasir dan Hisyam Hamid.

Hisyam Hamid 'tinggalkan' sisi romantis

KUALA LUMPUR: Lari daripada watak romantik yang sering dilakonkan, Hisyam Hamid menyahut cabaran mendalami ilmu persilatan demi menjayakan karakter dalam drama siri terbaharu berjudul Dosa.

Hisyam berkata, latihan intensif diperlukan bagi merealisasikan watak Fahad, yang juga anak kepada guru silat lakonan Datuk M Nasir sebelum mereka berangkat menjalani penggambaran di Indonesia, akhir bulan ini.

"Dosa mengisahkan mengenai seorang bapa yang dulu terbabit dalam kegiatan kongsi gelap di Jakarta, namun kemudian pulang ke Malaysia untuk membesarkan anak-anak sebaik nekad meninggalkan sejarah silam.

"Anak-anak yang dibesarkan dengan ilmu persilatan sejak kecil itu juga tidak tahu menahu mengenai kisah lampau bapa mereka, yang pernah menjadi ketua kongsi gelap.

"Bagi mendalami karektor Fahad yang ditonjolkan membesar dengan ilmu silat, saya perlu kelihatan mahir dalam ilmu mempertahankan diri itu. Sebelum ini, kami ke sana bagi sesi membaca skrip.

"Mengikut jadual, kami berada di Indonesia selama dua bulan bagi menjalani penggambaran. Ikutkan, hanya lima hari saja penggambaran di Malaysia," katanya kepada BH Online.

Hisyam memaklumkan, peluang berlakon bersama Remy Ishak dan Ashraf Sinclair sebagai kesempatan yang sukar dilepaskan apatah lagi meraih bonus tambahan iaitu dapat berkongsi layar dengan figura berpengaruh seperti M Nasir.

"Tanggapan saya salah sama sekali kerana Datuk M Nasir mudah didekati dan terbuka untuk menerima cadangan. Biarpun jauh lebih berpengalaman, kerjasama bersama beliau tidak sukar untuk diwujudkan.

"Saya menghargai peluang berlakon dalam sebuah karya yang menampilkan nama besar. Lebih menarik, skrip drama lapan episod ini bukan saja ditulis oleh seorang individu, sebaliknya hasil perbincangan satu syarikat," katanya.

1438 dibaca
Berita Harian X