Ahad, 7 Oktober 2018 | 12:42pm
SOKONGAN berterusan kelab peminat menambahkan bahang menjelang detik kemuncak ABPBH 31.

Perang poster hangatkan bahang kemuncak ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Bahang kehangatan acara kemuncak, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 semakin terasa apabila beberapa kelab peminat artis yang bertanding begitu agresif melakukan perang poster di laman sosial.

Menaruh harapan untuk melihat artis kesayangan membawa pulang kejayaan pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 9 malam ini, perang saraf itu semakin rancak dilakukan sejak kelmarin termasuk di laman Instagram rasmi, @abpbh31.

Antara kelab peminat yang begitu agresif melobi artis kesayangan mereka adalah Khai Bahar Empire sebagai tanda sokongan kepada Khar Bahar, selain Sky Lovers Fan Clyb (Syafiq Kyle).

Kehangatan itu turut dikongsi sama kelab peminat Neelofa, Fattah Amin, Fazura, Fendy Bakry, Hannah Delisha, Emma Maemong dan Wany Hasrita.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir melihat, senario itu sesuatu yang mengujakan, sekali gus menambahkan lagi kerancakan dan bahang menjelang acara yang masih berbaki beberapa jam itu.

“Saya sangat teruja melihat perkembangan ini terutama peminat yang terus berkempen dan melobi artis pilihan mereka, sekalipun undian ABPBH 31 sudah ditutup pada 25 September lalu.

“Saya hargai apa yang kelab peminat ini lakukan dan berharap semangat itu akan berterusan sehingga malam kemuncak ABPBH 31 yang menyaksikan sebutir lagi bintang dijulang sebagai Bintang Paling Popular,” katanya.


PERANG poster antara kelab peminat menghangatkan lagi debaran detik kemuncak ABBPBH 31.

Seiring dengan usia penganjuran acara yang sudah memasuki lebih tiga dekad, Shamshul berkata, semangat yang ditunjukkan membuktikan ABPBH masih berpengaruh dan memainkan peranan besar dalam membantu memajukan lagi industri hiburan.

“Kita harap sokongan ini akan berterusan kerana ia secara tidak langsung, menyemarakkan lagi industri seni.

Sama ada artis pilihan mereka menang atau tewas, kita berharap peminat akan terus bersatu demi memajukan industri hiburan.

“Sokongan berterusan ini juga memberi semangat kepada produksi ABPBH untuk terus memainkan peranan dalam memberi penghargaan kepada penggiat industri seni,” katanya.

ABPBH 31 menampilkan Janna Nick, Zara Zya dan Ajak Shiro sebagai pengacara, menyaksikan pemenang trofi Bintang Paling Popular bakal membawa pulang kereta Citroen C4 Picasso L2 bernilai kira-kira RM125,000 serta trofi.

Anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan itu diserikan oleh Alha Alfa selaku penaja utama.

Antara nama besar yang menyemarakkan pentas dalam segmen persembahan termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jeffrydin, Ramlah Ram, Amy Mastura, Misha Omar, Siti Sarah, Aizat Amdan, Hafiz Suip, Ernie Zakri dan Mimi Fly.

Sementara itu, Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Fauziah Latiff, Datuk Hans Isaac, Fattah Amin, Nur Fazura, Fasha Sandha, Rita Rudaini, Abam, Mark Adam selain nama yang sedang hangat antaranya Syafiq Kyle, Zahirah Macwilson, Hael Husaini dan Nabila Razali muncul sebagai penyampai trofi.


PERANG poster antara kelab peminat menghangatkan lagi debaran detik kemuncak ABBPBH 31.
674 dibaca
Berita Harian X