Jumaat, 5 Oktober 2018 | 4:08pm
SEBAHAGIAN ahli kelab peminat artis yang bakal memeriahkan malam kemuncak ABPBH 31 di PICC, Ahad ini. - Foto NSTP
PENGARAH Muzik, Lok U, ketika sesi latihan membabitkan artis persembahan pada malam kemuncak ABPBH 31. - Foto NSTP
SYAMEL berbincang sesuatu bersama Lok U (kanan). - Foto NSTP
BEN Ladin, Mimi Fly dan Haqiem Rusli ketika sesi latihan. - Foto NSTP
BARISAN selebriti yang bakal menghangatkan malam kemuncak ABPBH 31. - Foto Rosela Ismail

ABPBH 31 terima lebih 24 juta undi

KUALA LUMPUR: Mencatat sejarah, pencalonan 13 kategori utama dan lima kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 merekodkan jumlah undian lebih 24 juta dalam tempoh sebulan mulai 25 Ogos lalu.

Statistik diperoleh daripada Media Prima Digital (MPD) iaitu pengendali laman web rasmi ABPBH, www.abpbh.com.my, menunjukkan sebanyak 24,271,342 undi diterima mulai 25 Ogos hingga 25 September lalu.

Selain itu, laman web berkenaan mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 7.2 juta setakat ini.

Pengerusi ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir berkata, rekod undian lebih 24 juta adalah sejarah baharu bagi acara anugerah berprestij ini yang sudah lebih tiga dekad dianjurkan.

"Kita teruja mengumumkan jumlah undian diterima sepanjang tempoh sebulan proses undian ABPBH 31 berlangsung adalah lebih 24 juta merangkumi undian percuma dan boost, iaitu langganan akhbar digital BH sempena kempen edisi terbaru ABPBH.

"Ini adalah peningkatan berganda berbanding 1.5 juta undian yang diterima pada penganjuran ABPBH 3.0, tahun lalu.

"Kadar undian tertinggi ini membuktikan capaian ABPBH 31 secara digital kali ini adalah padu dan menepati sasaran. Ternyata, peralihan daripada proses undian melalui akhbar kepada digital, memberi impak memberangsangkan sesuai dengan perubahan dunia dan gaya hidup," katanya kepada BH Online.

Shamshul Azree berkata, rekod baharu undian ABPBH 31 boleh menjadi petunjuk dalam memperkasakan acara anugerah ini untuk edisi seterusnya.

"Kempen agresif melalui media sosial selain pembabitan kelab peminat sebagai rakan promosi memberi impak tersendiri kepada acara ini," katanya.

Mengenai persiapan malam kemuncak ABPBH 31 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), lusa, Shamshul Azree berkata, lebih banyak tiket diberi kepada kelab peminat terutama yang menjayakan program santai, #FANtastik di Istana Budaya, baru-baru ini, untuk menghangatkan acara.

"Kita sedar, tanpa peminat, ABPBH tidak akan mencapai sasaran. Setiap tahun, kita berusaha memastikan kelab peminat mendapat ganjaran hasil kerja keras mereka mengundi artis pilihan," katanya.

Mengenai artis yang bakal membuat persembahan, Shamshul Azree berkata, pentas ABPBH 31 bertemakan Infiniti akan 'dipanaskan' barisan 18 penyanyi dan band terkenal yang membawakan lagu merentasi genre.

"Latihan intensif di studio disusuli lokasi acara giat dijalankan. Paling istimewa, segmen tribute kepada tokoh seni yang bakal menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pasti menggamit memori peminat," katanya.

Antara penyanyi yang akan membuat persembahan adalah Datuk Jeffrydin, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ramlah Ram, Misha Omar dan Amy Mastura. Tidak ketinggalan, generasi baharu iaitu Sufian Suhaimi, Haqiem Rusli, Nabila Razali dan Ben Ladin.

929 dibaca
Berita Harian X