Khamis, 4 Oktober 2018 | 6:42pm
ANTARA wakil kelab peminat artis yang bakal memeriahkan kemuncak ABPBH 31, Ahad ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Tak sabar hangatkan kemuncak ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Debaran keputusan pemenang 13 kategori utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 tidak hanya dirasai artis yang bersaing, malah perasaan sama turut dikongsi peminat yang teruja menanti detik kemuncak acara.

Akui mereka, peluang bersama pada acara yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ahad ini membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap artis kesayangan.

Wakil kelab peminat Haqiem Rusly, Sharida Idora Abdul Wahab, 32, berkata, mereka terharu apabila menerima penghargaan daripada penganjur untuk bersama-sama merasai detik kemuncak itu.

“Teruja rasanya apabila diberi peluang untuk hadir memeriahkan majlis itu. Kami berterima kasih kepada BH yang tidak melupakan peminat untuk bersama-sama setiap kali acara kemuncak ABPBH. Ia membuatkan kami berasa dihargai,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab peminat Mira Filzah, Rose Harun, 50, mengakui sudah tidak sabar untuk mengetahui siapakah pemenang bagi 13 kategori yang dipertandingkan pada malam itu, malah berharap artis kesayangan akan membawa pulang trofi Bintang Paling Popular.


PEMINAT sudah tidak sabar menanti detik kemuncak ABPBH 31. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Pasti semua peminat mahukan artis yang disokong meraih kemenangan nanti. Selepas bertungkus-lumus mengundi Mira, pastinya kami mahu dia menjulang kemenangan pada malam itu.

“Sebagai tanda sokongan terhadap Mira, kami akan menyarung baju kelab peminat untuk membuktikan semangat dan persefahaman kami,” katanya.

Tambah Rose, tidak hanya peminat tempatan, kemuncak acara juga bakal disertai peminat Mira dari Brunei Darussalam dan Singapura untuk turut sama hadir memberikan sokongan.

Sementara itu, wakil kelab peminat Neelofa, Amirul Ashraf, 28, berkata mereka tetap hadir memberikan sokongan, meskipun artis kesayangan mereka tidak dapat bersama berikutan komitmen di Amerika Syarikat.

“Walaupun Neelofa tidak dapat hadir pada malam kemuncak nanti, kami tetap akan hadir memberi sokongan kepada ABPBH31. Ia sebagai tanda terima kasih kepada BH yang memberi ruang untuk kami memeriahkan acara,” katanya.

Terdahulu, wakil 26 kelab peminat calon yang bersaing pada kemuncak ABPBH 31 hadir ke Balai Berita, di sini, untuk menerima tiket ke malam kemuncak sebagai tanda terima kasih BH atas sokongan yang diberikan terhadap acara berprestij pilihan peminat paling lama bertahan itu.

Antara wakil kelab yang hadir termasuk Sitizoner, Khai Bahar Empire, We Love Fasha Sandha, Skylover, Jannanickers dan Ayda Jebat Screamers.

993 dibaca
Berita Harian X