Rabu, 3 Oktober 2018 | 12:44pm

Jualan tiket konsert Guns N' Roses makin hangat

PEMINAT masih boleh mendapatkan tiket kategori CAT 1, 2 dan 4 untuk menyaksikan konsert jelajah Guns N’ Roses Not In This Lifetime walaupun kategori VVIP dan CAT 3 sudah habis terjual.

Penganjurnya Galaxy Group dalam satu kenyataan berkata, peminat boleh membeli tiket kategori berkenaan bagi menonton konsert kumpulan rock itu yang akan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 14 November ini.

Menurutnya, pada masa sama peminat dinasihatkan supaya bersikap bijak dengan hanya membeli tiket konsert Guns N’ Roses daripada penjual sah.

Katanya, syarikatnya menyedari ada pihak tertentu cuba menjual semula tiket konsert pada harga yang terlampau mahal.

“Ada pihak didapati menjual tiket VVIP pada harga RM5,999.99, sedangkan harga asal adalah RM1,288.

“Manakala harga sebenar tiket CAT 4 adalah RM288, tetapi dijual pada harga RM1,642,” katanya.

Katanya, tiket terbabit berkemungkinan tidak sah dan pembeli berpotensi dihalang dari masuk ke dalam lokasi konsert.

Tiket menyaksikan konsert jelajah Guns N’ Roses Not in This Lifetime boleh dibeli menerusi laman web rasmi www.buytickets.com.my.

Maklumat lanjut boleh layari www.galaxy.com.my atau mengikuti akaun Facebook Galaxy Group.

454 dibaca
Berita Harian X