Isnin, 1 Oktober 2018 | 6:04pm
HABSAN Hassan

Kak Chah lepaskan jawatan Pengerusi MACP

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad atau MACP, Habsan Hassan, 69, mengumumkan peletakan jawatannya hari ini selepas 18 tahun menerajui badan pelesenan terbabit.

Peletakan jawatan dilakukan tokoh terkenal industri muzik tempatan itu sebagai satu tindakan tepat selepas tidak lagi mendapat sokongan daripada kebanyakan ahli Lembaga Pengarah MACP khususnya rakan komposer dan penerbit serta pengurusan baru.

Habsah atau mesra dengan panggilan Kak Chah, menghantar surat petang tadi selepas membuat pertimbangan sebaiknya keputusan itu.

“Saya mula sedar tidak lagi mendapat sokongan kebanyakan ahli Lembaga Pengarah MACP khususnya rakan komposer. Begitu juga sebahagian daripada penerbit dan pihak pengurusan baru.

“Malah, saya pernah dicabar berhenti sejak setahun lalu. Hari ini saya mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 18 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya petang tadi.

Kata Habsah, desakan itu terjadi ekoran kegagalan MACP mengutip royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Penurunan pungutan itu menyebabkan pengagihan royalti kepada ahli MACP turut terjejas teruk tetapi ia berlaku bukan atas kehendak kita semua. Selama bertahun-tahun MACP berjaya melunaskan tanggungjawabnya tetapi hanya tahun ini dan baru sekali ini (gagal).

“Namun, yang disuarakan segelintir ahli melalui media sosial sangat di luar jangkauan kewarasan fikiran. Fitnah, maki hamun, sindiran tajam dan serangan peribadi.

“Sangat sukar menjalankan tugas secara berhemah, berhati-hati dan bijaksana jika apa yang dilakukan seperti memberi bola tanggung kepada golongan yang hanya ingin mencari salah.

“Kepada semua ahli MACP, saya mengambil tanggungjawab untuk berundur. Saya memohon maaf atas kegagalan mengagihkan royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

MACP yang ditubuhkan sejak 1989 pernah mengutip royalti tahunan mencecah RM50 juta setahun.

Bagaimanapun, pada 1 Januari 2017, kerajaan mengarahkan sebuah badan baharu iaitu Music Rights Malaysia (MRM) mengambil alih pungutan royalti bagi pihak badan-badan pelesenan seperti MACP, Pengutip Royalti Persembahan Dan Hak Artis (Prism) dan Recording Performance Malaysia Berhad (RPM) serta Public Performance Malaysia (PPM).

Berikutan penstrukturan semula pengagihan sistem kutipan royalti oleh kerajaan, pendapatan royalti MACP dan tiga badan lain terjejas.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kutipan yang diperoleh MACP merudum sebanyak 53 peratus. Sehingga Oktober 2018, MACP dianggotai 4,000 orang ahli.

1570 dibaca
Berita Harian X