Rabu, 26 September 2018 | 11:20am

Jenazah Pak Ngah tiba di Malaysia

PASIR GUDANG: Jenazah komposer terkenal, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah, selamat tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, dekat sini, pada jam 10.18 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham yang tiba dari Batam, Indonesia dengan menggunakan bot khas, disambut oleh anak dan ahli keluarga terdekat.

Wakil keluarga, Abdul Raziff Abdul Rani, 56, berkata Allahyarham yang pergi ke Batam, Indonesia, kira-kira tiga hari lalu atas urusan keluarga, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

“Saya mewakili pihak keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan hadir pada hari ini.

“Urusan jenazah semua akan dibawa ke Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur dan akan disembahyangkan sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang Kampung Baru, Kuala Lumpur, selepas waktu zuhur,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pasir Gudang, dekat sini, hari ini.

Allahyarham yang meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada jam 3.02 petang semalam, dikenali sebagai `bapa irama Malaysia’ dan disifatkan sebagai pejuang negara yang mempertahankan irama Malaysia.

Allahyarham giat mencipta dan menerbitkan lagu artis terkenal tanah air termasuk nyanyian Datuk Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris.

5781 dibaca
JENAZAH, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah selamat tiba di Terminal Feri Pasir Gudang kira-kira pada pukul 10.15 pagi tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JENAZAH, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah selamat tiba di Terminal Feri Pasir Gudang kira-kira pada pukul 10.15 pagi tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X