Selasa, 25 September 2018 | 4:32pm
KOMPOSER terkemuka, Pak Ngah atau nama sebenarnya Datuk Suhaimi Mohd Zain, meninggal dunia di Batam, jam 3.02 petang tadi. - Foto Aziah Azmee

Komposer Irama Malaysia, Pak Ngah meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Komposer yang terkenal dengan lagu Irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah meninggal dunia di Batam, Indonesia, pada jam 3.02 petang tadi.

Berita berkenaan disahkan penyanyi, Noraniza Idris, yang mendapat perkhabaran duka mengenai pemergian Pak Ngah, 60, menerusi anak komposer itu, Megat.

BH Online turut mendapat kiriman mesej mengenai berita kematian komposer yang banyak bekerjasama dengan artis terkenal tanah air itu, seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza, Wany Hasrita, Syura dan Zehra Zambri.

“Salam famili semua. Saya Megat mewakili bapa saya. Dengan rasa sedih kami ingin memaklumkan Pak Ngah selamat kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulisnya.

Difahamkan, jenazah Allahyarham kini sedang diuruskan untuk dibawa pulang ke Malaysia.

5774 dibaca
Berita Harian X