Selasa, 25 September 2018 | 1:17pm
KELAB peminat melancarkan gerak gempur sebelum undian ditutup jam 11.59 malam ini. - NSTP/Rosela Ismail

Gerak gempur undian saat akhir ABPBH 31

KUALA LUMPUR: Menjelang detik terakhir penutupan undian jam 11.59 malam nanti, kelab peminat artis yang bersaing dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 terus melakukan gerak gempur untuk memastikan bintang kesayangan mereka membolosi Top 5.

Presiden Khai Bahar Empire (KBE), Sarhan Ezani berkata, sejak undian ABPBH 31 dibuka pada 25 Ogos lalu, mereka berterusan mengundi untuk memastikan nama penyanyi itu tidak tercicir pada detik kemuncak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 7 Oktober ini.

“Kami sentiasa mengingatkan ahli supaya terus mengundi hingga detik terakhir. Malah, kami turut mewujudkan kumpulan khas yang aktif hampir 24 jam untuk melipatgandakan jumlah undian.

“Selain itu, kami juga mengemaskini jumlah undian yang dibuat setiap hari dan mengumpul data setiap jam. Selain peminat tempatan, gerak gempur ini juga mendapat sokongan kelab peminat di luar negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Hong Kong.

“Alhamdulillah, kami mendapat sokongan padu daripada mereka. Kami tidak mahu terlalu optimis, namun berharap Khai dapat mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular untuk tahun ini,” katanya.

Sementara itu, wakil kelab peminat Syafiq Kyle, Skylovers FC, Wan Najmudin Wan Mohd Noh berkata, mereka berkempen secara konsisten dan efisyen sejak awal undian dibuka menerusi media sosial dengan memperkenalkan slogan, #capikneverquit dan #abpbh31forsyafiqkyle.

“Skylovers FC akan mengundi habis-habisan sebelum undian ditutup. Syafiq juga terharu melihat pengorbanan peminat setianya dengan rela hati menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit untuk melihat kejayaannya,” kata Wan Najmudin.

Bagi pengendali Fazbulous Warriors, Ieja pula memaklumkan, untuk ABPBH 31, mereka sepakat bergabung untuk menyatakan sokongan terhadap Nur Fazura dan suaminya, Fattah Amin.

“Apabila kelab peminat Fattah dibubarkan, kami mengambil kata putus untuk bergabung mengundi mereka berdua. Ia menjadi strategi berkempen kami sepanjang proses pengundian. Kami bersetuju untuk mengundi mereka dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

“Kebetulan, Fattah dan Fazura turut dicalonkan bersama dalam kategori online, Pasangan Serasi Drama. Untuk kategori keseluruhan, Bintang Paling Popular, kami tiada masalah melakukan pecahan undian untuk memilih siapa antara mereka yang menyerlah,” katanya.


BARISAN artis yang bakal menghangatkan detik kemuncak ABPBH 31 di PICC, 7 Oktober ini. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Sementara itu, wakil kelab peminat Haiza Troopers, Mohd Najib Ahmad pula mengambil pendekatan untuk tidak bersikap tamak, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada kategori tertentu bagi memastikan Haiza tidak terpinggir.

“Haiza dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Penyampai Radio Popular, Duo/Berkumpulan Popular dan Artis Versatil. Selepas perjumpaan, kami nekad memberikan fokus hanya kepada satu kategori dengan mengumpul peminat dari Malaysia dan Singapura untuk bergabung.

“Kami juga memanfaatkan kemudahan media sosial untuk terus berkempen, malah pada acara #FANtastik di Istana Budaya, Sabtu lalu, kami ambil peluang berkempen kepada pengunjung yang datang supaya mengundi Haiza,” katanya.

Bagi pengendali Neelofa Team, Amirul Addy, suntikan semangat yang diterima daripada artis kesayangan

membuatkan mereka bekerja keras untuk memastikan kejayaan berpihak kepada Neelofa.

“Kami turut mewujudkan kumpulan perbincangan di Telegram dan WhatsApp untuk menyusun strategi memastikan Neelofa meraih kejayaan. Neelofa juga ada memberikan kata semangat, membuatkan kami lebih bersungguh-sungguh kerana mahu melihat dia berjaya.

“Selain itu, kami terharu dengan segelintir peminat yang tidak lokek membeli undi boost secara peribadi untuk memastikan undian berpihak kepada Neelofa,” kata Amirul.

Bagi The Nizers yang menggabungkan Wany Hasrita, Emma Maembong, Asad Motawah dan Azrel Ismail, mereka melakukan perancangan rapi dalam proses pengundian ABPBH 31.

Presidennya, Along Zai berkata, mereka beruntung kerana memiliki pasukan yang sentiasa bersemangat dan positif untuk memastikan bintang kesayangan mencipta kejayaan.

“Sejak awal lagi, kami sudah berkumpul untuk membincangkan strategi menerusi Gempur Gather 2 Gether ABPBH 31. Kami tidak mahu tamak dan hanya memilih untuk memberi fokus kepada Emma dan Wany.

“Tiga pengendali The Nizers juga terbang ke Indonesia pada minggu kedua bagi memastikan wakil di sana membantu kami menjayakan Misi Undi Tanpa Henti Tanpa Batas. Kami juga menawarkan hadiah menarik sempena Undi Challenge.

“Pemenang berpeluang ke Krabi dan Phuket, Thailand selama tiga hari dua malam menerusi hadiah tajaanWany dan Emma,” katanya.

Selain itu, katanya, pada 8 September lalu, mereka mengadakan aktiviti santai di pusat siber dengan mengumpul lebih 50 ahli untuk mengundi tanpa henti.

“Pusat siber itu kebetulan dimiliki ahli The Nizers yang sanggup menutup operasi premisnya selama tiga hari untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

“Admin juga bertindak sebagai penggera yang akan mengingatkan semua ahli untuk mengundi, selain perang poster di Instagram yang menjadi tradisi kami di The Nizers,” katanya.

Info

l * Jumlah undian terkumpul ABPBH 31 sehingga Sabtu lalu adalah 12,823,144 undi.

l * Undian yang dibuka sejak 25 Ogos lalu dibuat menerusi www.abpbh.com.my.

l * Peminat boleh membuat pilihan dalam 13 kategori utama dan lima kategori online.

l * Tarikh akhir undian adalah 11.59 malam ini.

l * ABPBH 31 akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober ini, mulai jam 9 malam.

1101 dibaca
Berita Harian X