Khamis, 13 September 2018 | 12:26pm
TINGGAL 12 hari lagi untuk peminat mengundi calon pilihan bagi meraih 13 trofi utama dan Bintang Paling Popular ABPBH 31. Layari www.abpbh.com.my.

Calon Top 20 ABPBH 31 diumum

KUALA LUMPUR: Memecah tradisi penganjuran, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 mengumumkan 20 calon pelbagai kategori yang merekodkan jumlah undian tertinggi setakat ini, selepas proses undian secara dalam talian dilancarkan sejak 25 Ogos lalu.

Kumpulan 20 calon ini meraih undian terbanyak malah konsisten, sejak peminat mula mengundi 13 kategori utama dan lima kategori online di laman web www.abpbh.com.my.

Andai dilihat kepada senarai 20 calon terbabit, keupayaan mereka mengumpul undi yang tinggi bergantung kepada pelbagai faktor.

Antaranya aktif dan konsisten dalam menghasilkan produk popular mahu pun ‘box office’; menjalin hubungan rapat dengan peminat terutama melalui laman sosial dan sentiasa berusaha memastikan mereka relevan dengan industri hiburan semasa.

Tidak syak lagi, kumpulan 20 calon ini masing-masing memiliki kredibiliti tersendiri dan wajar dianggap pesaing terbaik dalam merebut trofi utama, Bintang Paling Popular bagi edisi ke-31 acara anugerah pilihan peminat berprestij ini.

Bukan mengetepikan faktor kontroversi sebagai tiket mudah untuk calon terbabit meraih kedudukan selesa, namun hakikatnya, peminat bijak memilih bintang yang memiliki produk meyakinkan untuk terus berada dalam radar sokongan.

Antara nama yang berada di kelompok teratas adalah Fattah Amin dan pasangannya, Nur Fazura; Khai Bahar, Neelofa, Siti Nordiana, Syafiq Kyle, Wany Hasrita dan Mira Filzah.

Penyandang trofi Bintang Paling Popular musim lalu, Fattah misalnya, tidak diragui mampu memberi saingan sengit apatah lagi beberapa drama bersiri seperti adaptasi Korea, Coffee Prince dan filem termasuk KL Special Force menjadi antara produk ‘terhangat’ sepanjang 2017.

Undi peminat turut meletakkan isterinya, Fazura sebagai calon ‘favourite’ apatah lagi masing-masing menyerlah dalam Hero Seorang Cinderella.

Meneliti senarai Top 20, artis lain seperti Mira Filzah dan Siti Nordiana juga membuatkan undian semakin sengit kerana mereka disokong kelompok peminat tegar.

Dalam liga ini, kemaraan Neelofa tidak mungkin dipertikaikan kerana biarpun terpalit dengan kontroversi, dia tetap memancing perhatian ramai menerusi hasil kerjanya.

Menyentuh soal kecenderungan undian berdasarkan isu hangat atau kontroversi, hakikatnya insan seperti Haqiem Rusli, Zahirah Macwilson dan Syafiq tetap tampil bersama produk meyakinkan.

Soal putus cinta, gimik kononnya berdepan tekanan perasaan serta isu gambar panas bukan pemangkin undian, sebaliknya mutu nyanyian dan lakonan tetap jadi keutamaan pemerhati industri hiburan.

Lihat saja Mira, walau kisah keintimannya dengan Zizan Razak kerap menjadi topik utama, dia membuktikan popularitinya lebih cenderung menerusi satu persatu drama lakonan.

Turut berada di kelompok tertinggi adalah Alif Satar, Hanna Delisha, Fendy Bakry, Zahirah dan Haqiem.

Malah dua Instafamous iaitu si cilik yang menetap di United Kingdom (UK), Fatimah Omar (@theFamily.UK serta Nur Aisyah Mohd Razip (@cupcake_aisyah) juga menunjukkan ‘taring’ bersaing di kedudukan selesa.

Kini, hanya tinggal 12 hari lagi untuk peminat mengundi selebriti kesayangan sebelum tarikh tutup, 25 September ini.

Apa yang pasti, undian berterusan pembaca akhbar BH dan versi dalam talian, BH Online mampu meletakkan artis pilihan berada di posisi selesa bagi merebut gelaran juara kategori dan trofi utama, Bintang Paling Popular ABPBH 31.

Pengerusi Jawatankuasa ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir berkata, peminat perlu terus memanfaatkan tempoh undian yang berbaki 12 hari bagi memastikan artis pilihan tidak terlepas peluang menggenggam trofi.

“Perlu diingatkan senarai Top 20 yang diumumkan ini bukanlah bermaksud mereka ini sudah menempah nama ke peringkat akhir acara anugerah ini.

“Jumlah undian boleh berubah mengambil kira kecenderungan peminat mengundi pada saat-saat akhir,” katanya kepada BH Online.

Shamshul Azree berkata, peminat juga boleh memanfaatkan kempen langganan akhbar digital BH sempena ABPBH 31 yang menyediakan pakej langganan serta undian boost.

“Maklumat mengenai pakej ini boleh didapati di laman web www.abpbh.com.my.

“Kempen ini dilaksanakan bagi memastikan ABPBH sentiasa relevan termasuk dalam mengoptimumkan penggunaan platform digital sesuai dengan perkembangan semasa.

“Proses undian yang dilakukan sepenuhnya melalui laman web www.abpbh.com.my dan perkongsian maklumat menerusi laman sosial menjadi antara langkah menyemarakkan kempen undian,” katanya.

Mengenai persiapan malam kemuncak ABPBH 31, Shamshul Azree berkata, penganjur termasuk stesen penyiar rasmi, TV3 melalui Primeworks Studios sudah memperincikan kandungan pada acara yang akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan, jam 9 malam.

“Pengumuman mengenai pengisian malam kemuncak akan dibuat dalam program istimewa bersama peminat dan kelab penyokong artis, tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas mengenai tema Infiniti pada penganjuran kali ini, Shamshul Azree berkata, infiniti merujuk kepada ruang tanpa sempadan bertepatan evolusi BH selaku akhbar yang sentiasa menambah baik kandungan merentasi pelbagai platform sama ada bercetak mahupun digital.

“Tema ini dapat diserapkan dalam semua aktiviti, promosi dan publisiti ABPBH 31 serta membuka minda setiap daripada kita dalam mencari kecemerlangan tanpa batasan, baik dalam aspek berkarya, kerjaya atau komersial,” katanya.

Info

Calon Top 20 Pilihan Peminat (Sehingga 13 September)

  • Ain Edruce
  • Alif Satar/Neelofa
  • Arif Jiwa
  • Fatimah Omar (@theFamily.UK)
  • Fattah Amin
  • Fattah Amin/Nur Fazura
  • Fendy Bakry
  • Hannah Delisha
  • Haqiem Rusli
  • Janna Nick
  • Khai Bahar
  • Mira Filzah
  • Neelofa
  • Nur Aisyah Mohd Razip (@cupcake_aisyah)
  • Nur Fazura
  • Siti Nordiana
  • Syafiq Kyle
  • Syafiq Kyle/Hannah Delisha
  • Wany Hasrita
  • Zahirah Macwilson

INFO

  • Penaja utama ABPBH 31 adalah Alha Alfa, produk kosmetik tempatan keluaran Syarikat Alha Alfa Rich Legacy Sdn Bhd.
  • Malam kemuncak ABPBH 31 akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Oktober depan, jam 9 malam.
  • Lokasi rasmi acara ditaja PICC manakala Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) adalah penyiar televisyen (TV) rasmi.
  • Selain itu, Kool FM dan Hot FM menjadi stesen radio rasmi; Tonton (platform digital rasmi) serta Hijab & Heels (media digital rasmi).
1999 dibaca
Berita Harian X