Jumaat, 7 September 2018 | 7:58pm
FAUZI (tengah) beramah mesra dengan anggota jawatankuasa WHAM dalam pertemuan di Hulu Klang, hari ini.

Filem pecah panggung hangatkan saingan FFM30

HULU KLANG: Lebih 40 judul termasuk filem pecah panggung dijangka memberikan persaingan sengit pada Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang dijadualkan berlangsung 8 Disember depan.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Fauzi Ayob, berkata FFM musim ini menunjukkan transisi memberangsangkan dengan kebangkitan filem Melayu yang meraih kutipan luar biasa.

Katanya, perkembangan daripada jumlah pungutan dicatatkan sejak permulaan suku ketiga 2018 secara tidak langsung memberi bayangan industri filem tempatan bakal bersinar semula, tahun depan.

“Lihat saja kejayaan Hantu Kak Limah (HKL) mencatat pungutan menghampiri angka RM40 juta dan mampu mengatasi pencapaian Abang Long Fadhil 2 dengan kutipan RM18.1 juta.

“Sudah tentu kita tidak menyangka pungutan filem tempatan kini mampu naik berkali ganda, malah kini Munafik 2 turut memperlihatkan kecenderungan masyarakat memberikan sokongan di pawagam.

“Pada masa sama, kami melihat pelbagai elemen merangsang perubahan aliran ini. Ada di antara filem lain pula mendapat sambutan di luar negara dan tidak kurang juga yang menerima pengiktirafan pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Fauzi berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan anggota jawatan kuasa Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (WHAM) yang diketuai Presidennya, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata majlis pengiktirafan terhadap filem dan pengkaryanya yang sepatutnya diadakan pada September dianjakkan ke akhir tahun berikutan proses peralihan kerajaan baharu.

“Sebenarnya tiada apa yang perlu digusarkan kerana FFM30 tetap diadakan sebagai penghargaan kepada penggiat seni. Cuma ia agak lewat sedikit.

“Seperti biasa, antara syarat penyertaan adalah karya ditayangkan pada Ogos 2017 hingga akhir 2018, manakala filem yang belum pernah bertanding sebelum ini layak menghantar pencalonan,” katanya lagi.

Fauzi berkata, sejajar usia tiga dekad penganjurannya, ada kejutan menanti khalayak pada malam kemuncak festival itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) nanti, iaitu pembabitan artis antarabangsa sebagai penyeri.

Malah, beberapa aktiviti yang mendekatkan masyarakat dengan industri filem dan pertemuan antara penggiat seni tempatan dengan pengkarya global juga bakal dilaksanakan.

1113 dibaca
Berita Harian X