Sabtu, 1 September 2018 | 11:18pm
STACY membuat persembahan pada Konsert GegaRia di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, malam tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ANTARA pengunjung yang hadir ke Konsert GegaRia di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, malam tadi. - Foto Aswadi Alias
MISHA Omar membuat persembahan pada Konsert GegaRia di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, malam tadi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Konsert GegaRia suntik semangat patriotisme penonton

PUTRAJAYA: Himpunan lagu patriotik yang melatari acara kemuncak, Konsert GegaRia menyuntik semangat cintakan negara, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Dimulakan dengan lagu kebangsaan, Negaraku, kibaran bendera pada acara kemuncak yang berlangsung di Perkarangan Istana Kehakiman, di sini, malam tadi meniupkan semangat perpaduan dalam diri penonton yang membanjiri lokasi persembahan.

Dimeriahkan dengan kemunculan nama besar seperti Faizal Tahir, Wany Hasrita, Stacy, Masdo, Misha Omar dan Bunkface, sekali gus menjadi pemangkin yang menarik kehadiran lebih 28,000 penonton yang membanjiri lokasi sejak jam 7 malam.

Juri tetap Big Stage, Faizal Tahir membuka tirai persembahan membawakan lagu Malaysia, disusuli Assalamualaikum, Gemuruh dan Ragaman. Mengenakan kemeja batik, kemunculan bergaya penyanyi itu menghangatkan suasana pentas.

Bahang kehangatan konsert semakin dirasai ketika Kugiran Masdo mengambil alih pentas membawakan lagu Saya Anak Malaysia, selain dua lagu popular mereka, Bunga dan Bercanda Di Malam Indah.

Teruja dengan irama muzik pop yeh yeh yang dibawakan, penonton tidak kekok menyanyi bersama-sama, menjadikan suasana konsert yang dikendalikan penyampai Kool FM, Muaz dan penyampai Hot FM, Ajak Shiro semakin gamat.


KARNIVAL Gegaria adalah antara acara padang di bawah kempen #KitaPunya yang dilancarkan Media Prima Berhad sejak 1 Ogos lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kemantapan vokal Misha yang sedang popular dengan lagu Sampai Bila membuatkan penonton tidak berganjak untuk terus berhibur. Penyanyi itu turut menghiburkan peminat dengan lagu popularnya, Cinta Adam dan Hawa, selain Standing In The Eyes Of The World.

Konsert GegaRia turut dimeriahkan dengan kemunculan Wany Hasrita yang memilih lagu Sejahtera Malaysia selain Rintihan Rindu dan Menahan Rindu. Stacy pula memukau penonton menerusi lagu Raja dan Warisan.

Bunkface menutup tirai persembahan dengan aksi bertenaga mereka ketika membawakan tiga lagu; Malam Ini Kita Punya, Kita Punya Malaysia dan Revolusi.

Karnival Gegaria ini adalah antara acara padang di bawah kempen #KitaPunya yang dilancarkan Media Prima Berhad sejak 1 Ogos lalu.

Bertemakan GegaRia #KitaPunya, antara pengisian yang menjadi tumpuan pengunjung termasuk gerai Zon Gaya Hidup yang menyaksikan penampilan beberapa artis YouTube untuk berkongsi cerita mereka, selain pelbagai aktiviti menarik menerusi Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

520 dibaca
Berita Harian X