Sabtu, 4 Ogos 2018 | 12:49pm
KAKAK, Prof Fakhariah Lokman (kiri), dan adik arwah, Mohd Danial Lokman (tengah), dan Ida Neliaty Lokman (kanan) di pengebumian bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin
IDA Neliaty Lokman menyiram air di pengebumian bekas pengacara TV3, Datuk Mahadzir Lokman di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. - Foto Eizairi Shamsudin

Mahadzir dikebumi sebelah kubur ibu

KUALA LUMPUR: Jenazah bekas personaliti TV3 dan ikon pengacaraan, Datuk Mahadzir Lokman, 61, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, kira-kira jam 10.10 pagi tadi.

Mahadzir dikebumikan bersebelahan kubur ibunya, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman, seperti diminta pengacara terkenal itu.

Adik Allahyarham, Ida Neliaty, berkata, Mahadzir pernah berpesan supaya jenazahnya dikebumikan berdekatan dengan ibunya yang meninggal pada 23 Oktober 2013 andai beliau pergi suatu hari nanti.

"Sebelum ibu kami meninggal dunia, dialah yang banyak menjaganya. Apa saja yang ibu mahu, pasti dia cuba tunaikan.

"Kalau boleh, dia juga mahu membawa ibu sekali ke semua majlis yang dihadirinya. Orang kata syurga itu di bawak tapak kaki ibu. Dia sudah pun menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik sekali.

"Kami cuba tunaikan permintaannya yang mahu disemadikan bersebelahan dengan kubur ibu. Alhamdulillah, Allah mempermudahkannya," katanya.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada keluarga, teman rapat dan media memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham ketika beliau disemadikan.

Turut kelihatan teman selebriti seperti Ras Adiba Radzi, Datuk DJ Dave, Amy Search, Farouk Hussein dan Sheera Iskandar.

Ras Adiba ketika ditemui berkata, beliau terkejut dengan pemergian Mahadzir kerana menyifatkan Allahyarham seorang yang ceria dan langsung tidak menunjukkan dirinya sedang sakit.

"Saya kenal Abang Dale sejak 18 tahun lalu. Dia seperti abang dan guru kepada kami. Saya masih ingat ketika kami membaca berita Buletin Utama bersama-sama, kami tergelak sehingga membuatkan siaran berita itu terpaksa dihentikan 10 minit awal.

"Insiden itu membuatkan abang pula yang mendapat memo, sedangkan saya tidak diberikan amaran. Saya percaya, dialah yang menyelamatkan saya yang masih baru sebagai penyampai berita ketika itu," ujarnya.

Semalam, Mahadzir, dilaporkan meninggal dunia selepas Subuh apabila ditemui tidak sedarkan diri di biliknya, di sebuah hotel di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, oleh sepasukan anggota polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Jenazah Mahadzir tiba di kediaman keluarga, di Petaling Jaya, jam 4.30 pagi tadi, menerusi penerbangan MAS yang berlepas jam 11.05 malam.

Sebelum dikebumikan, jenazah terlebih dulu disembahyangkan di Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya, jam 9.30 pagi.

4205 dibaca
Berita Harian X