Jumaat, 3 Ogos 2018 | 9:32pm
SELEBRITI Korea, Ji Suk-Jin (tengah) JeA (empat dari kanan) Yang Se-Chan (lima dari kiri) dan Sung-Jong (empat dari kiri) bergambar bersama pengacara CJ Wow Shop pada majlis memperkenalkan program Sales King TV di Studio Glenmarie Industrial Park. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Empat artis Korea jual barang di CJ Wow Shop

SHAH ALAM: Bintang Running Man, Ji Suk-jin dan Yang Se-chan akan menjadi 'jurujual' di rangkaian beli-belah inovatif menerusi pelbagai platform di rumah, CJ Wow Shop, esok dan Ahad.

Kedua-duanya akan muncul secara langsung menerusi program Sales King TV pada jam 9 pagi di TV9, bersama-sama dua lagi artis ternama K-pop, JeA daripada kumpulan Brown Eyed Girls dan Sung-jong (Infinate).

Empat artis Korea itu ditugaskan untuk menjual beberapa jenis barangan, antaranya Dr Dental Care, produk masker V-Care dan mi segera Spicy Samyang kepada penonton.

Suk-jin berkata, mereka akan menjual sebanyak mungkin barangan untuk melawan jumlah jualan dilakukan oleh kumpulan Super Junior yang turut berbuat demikian di platform sama seperti CJ Wow di Thailand.

"Ia satu cabaran yang harus kami ambil. Kami mengadakan jualan di sini (Malaysia), manakala Super Junior pula di Thailand. Pastinya kami akan tewaskan mereka.

"Saya tidak sabar melalui pengalaman baharu ini, apatah lagi pembeli barangan yang dipromosikan semestinya peminat kami," katanya pada sidang media khas CJ Wow Shop dan Channel A mempersembahkan Sales King TV di Studio ntv7, Glenmarie, di sini.

Empat selebriti terbabit akan menyahut cabaran mempromosikan dan menjual dengan cara tersendiri. Mereka hanya dibenarkan pulang ke Korea sekiranya barangan dijual mencapai sasaran seperti dipersetujui.

Dalam pada itu, artis terbabit turut diberi tugasan lain termasuk merasa raja buah, durian, dalam program berkenaan.

Bagaimanapun Sung-jong menyifatkan ia satu peluang yang ditunggu-tunggu kerana dia sememangnya seorang penggemar durian.

"Saya sukakan durian. Ia sangat sedap. Suk-jin pula sentiasa gagal setiap kali memakan buah berkenaan. Tengoklah apa jadi esok," ujarnya.

Ditanya pula mengenai strategi pemasaran, keempat-empat artis itu sedar perbezaan bahasa akan mengundang sedikit masalah untuk masyarakat tempatan memahami mereka.

Justeru, masing-masing akan cuba menggunakan ekspresi wajah yang berlebih-lebihan dalam penyampaian agar penonton memahami promosi dilakukan.

"Sudah tentu kami akan menggunakan bahasa Korea dan jalan terbaik untuk membuatkan penonton faham adalah dengan menonjolkan ekspresi wajah kami.

"Kami sanggup melakukan apa saja, termasuklah menari. Apa yang penting, jualan kami dapat dihabiskan segera!" seloroh JeA.

Barisan selebriti K-pop ini akan dibantu pengacara CJ Wow Shop sendiri iaitu Zaim Helmi, Fiza Saad, Jimmy Shanley, Lily Liyana, Shinkong, Kah Chee dan Pauline.

Pelanggan boleh membeli barangan dijual dalam program itu dengan menghubungi talian bebas cukai di 1-800-18-0808. Pembelian juga boleh dibuat menerusi web http://www.cjwowshop.com.my atau dengan memuat turun aplikasi CJ Wow Shop di telefon pintar.

Sales King TV adalah program hasil kerjasama CJ Wow Shop dan Channel A (saluran televisyen Korea).

1800 dibaca
Berita Harian X