Khamis, 3 Mei 2018 | 6:25pm
PENYANYI, Anuar Zain, ketika menghadiri sidang media majlis makan malam amal, An Evening With The Stars - Anuar Zain Charity Dinner, baru-baru ini. - Foto Mahzir Mat Isa

Majlis amal bersama Anuar Zain dibatalkan

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis makan malam amal, An Evening With The Stars - Anuar Zain Charity Dinner, yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, pada 6 Mei ini, dibatalkan atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan.

Menurut penganjurnya, E&F Event Resources, mereka yang sudah pun membeli tiket boleh mendapatkan semula wang masing-masing mulai esok sehingga 4 Jun depan.

"Dengan rasa rendah hati, pihak E&F Event Resources selaku pihak penganjur ingin memohon maaf kepada semua yang terbabit dalam majlis ini, terutama mereka yang sudah mendapatkan tiket untuk menghadiri acara terbabit.

"Kepada mereka yang sudah membeli tiket, anda bolehlah mendapatkan semula bayaran bermula 4 Mei ini sehingga 4 Jun depan daripada pihak E&F Event Resources. Mereka boleh menghubungi Puan Emi di talian +6012-6999306, Cik Adda (+6011-11420411) dan Nan (+6017-7614115) berserta dengan bukti pembelian," kata penganjur dalam kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online, hari ini.

Selain Anuar, persembahan makan malam berkenaan sepatutnya turut menampilkan Zamani dan penyanyi Singapura, Fauzie Laily.

Majlis terbabit dianjurkan dengan matlamat menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Lace Datuk Rokiah bagi membantu insan kurang berkemampuan, anak yatim, golongan asnaf, warga emas dan ibu tunggal di sekitar Johor Bahru.

2562 dibaca
Berita Harian X