Ahad, 15 April 2018 | 10:55pm
PENONTON tidak berganjak menikmati persembahan. - Foto Zunnur Al Shafiq
KEMUNCAK Festival GegaRia di perkarangan Aman Jaya Mall, Sungai Petani. - Foto Zunnur Al Shafiq
PERSEMBAHAN yang bertenaga daripada Faizal Tahir. - Foto Sharul Hafiz Zam
FESTIVAL GegaRia terlebih dahulu menemui pengunjung di enam lokasi bermula Shah Alam, Johor Bahru, Kuantan, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. - Foto Sharul Hafiz Zam
KUMPULAN Akim & The Majistret. - Foto Zunnur Al Shafiq

Konsert GegaRia hangat dalam hujan

SUNGAI PETANI: Kemuncak Festival GegaRia di perkarangan Aman Jaya Mall, di sini, hari ini dilabuhkan dengan memori manis apabila menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Diakhiri dengan Konsert GegaRia yang membariskan enam artis popular, Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan, percaturan itu berbaloi apabila penonton tidak berganjak menikmati persembahan.

Akim & The Majistret membuka pentas dengan persembahan bertenaga mempertaruhkan empat lagu popular mereka, Obses, Lagu Untuk Laila, Stereotype dan Terlalu Mudah.

Tidak membiarkan momentum itu terhenti, Stacy menghangatkan pentas yang mula dibasahi hujan dengan aksi energetik membawakan dua lagu popularnya, Cakap Ke Tangan dan Not For Sale.

Sinonim dengan Konsert GegaRia, Kugiran Masdo terus memperlihatkan keunggulan mereka di pentas. Tidak dinafikan, kumpulan empat anak muda itu menjadi nadi yang menggerakkan pentas utama yang dikendalikan penyampai Hot FM, Issey dan Deen serta Naz Habibur Rahman.

Tetap bersemangat beraksi dalam hujan, mereka memilih lima lagu, Teruna Dan Dara, Bunga, Bercanda di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi dan Malam Pesta Rock and Roll yang membawa penonton kembali ke era kegemilangan muzik 1960-an.

Aura Faizal Tahir di pentas masih berbisa apabila mengumpan penonton dengan rangkaian tiga lagu popular, Assalamualaikum, Maharkarya Cinta dan Malaysia.


AURA Faizal Tahir di pentas masih berbisa. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kemunculan julung kali di pentas Festival GegaRia itu mengubat rindu peminat yang terhibur dengan aksi bakat yang dicungkil menerusi program realiti, One In A Million itu.

Andai sebelum ini, Noh Salleh tampil solo, namun penonton di Aman Jaya Mall bertuah apabila kemunculan terbarunya itu diiringi bersama kumpulan Hujan.

Membawakan pilihan lagu, Obsesi, Dugaannya dan Empayarmu, kemunculan kumpulan itu mengundang jeritan peminat yang merindui aksi hebat mereka.


KUMPULAN Hujan dan Kugiran Masdo membuat persembahan. - Foto Sharul Hafiz Zam

Persembahan terakhir mereka membekas di hati penonton apabila Kugiran Masdo turut bersama ketika Hujan membawakan lagu penutup, Aku Skandal.

Bunkface yang dianggotai Paan, Youk dan Sam terus memanaskan suasana dengan pilihan lagu rancak Malam Ini Kita Punya, Panik, Darah Muda, Situasi dan Revolusi.

Festival GegaRia terlebih dahulu menemui pengunjung di enam lokasi bermula Shah Alam, Johor Bahru, Kuantan, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban.

620 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »