Selasa, 10 April 2018 | 8:09pm
KONSERT The Bruno Mars 24K Magic World Tour pada 9 Mei 2018.

Apa nasib konsert Bruno Mars?

KUALA LUMPUR: Penganjur konsert The Bruno Mars 24K Magic World Tour meminta pembeli tiket persembahan mega penyanyi tersohor berkenaan di ibu negara pada 9 Mei depan merujuk laman sosial rasmi syarikat itu untuk sebarang pengumuman.

Kata wakil PR Worldwide, mereka menerima banyak mesej dan panggilan susulan pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang jatuh serentak pada hari konsert dijadualkan berlangsung.

"Terima kasih di atas panggilan dan mesej anda. Terus bersama PR Worldwide untuk sebarang pengumuman rasmi," kata wakilnya menerusi Facebook PR Worldwide, hari ini.

Axiata Arena Bukit Jalil antara lokasi persinggahan penerima anugerah Grammy itu dalam siri jelajah beliau di Asia, selain Jepun (11, 12 dan 14 April) serta Manila, Filipina (3 Mei).

Kehadiran penyanyi lagu That's What I Like itu sememangnya dinantikan peminat tempatan apabila 12,000 tiket berharga RM398 hingga RM888 habis dijual hanya dalam tempoh 45 minit.

Terdahulu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menetapkan 28 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon, diikuti 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU-14.

2135 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »