Ahad, 1 April 2018 | 11:24pm
PROTEGE Siti Sarah, Ayie atau nama sebenarnya, Sairi Sari Osman. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Ayie peserta pertama tersingkir

SHAH ALAM: Protege Siti Sarah, Ayie, 36, menjadi peserta pertama tersingkir daripada program realiti Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini malam ini.

Pada konsert kedua rancangan terbabit, Ayie mempersembahkan lagu Puncak Kasih nyanyian asal Ziana Zain.

Nyanyian peserta berkenaan gagal memikat sepenuhnya hati juri awam apabila sekadar memperoleh 12 markah, yang juga jumlah terendah.

Pemilik nama sebenar, Sairi Sari Osman, itu turut menerima komen pedas daripada juri tetap, Edry Abdul Halim, yang menyifatkan persembahannya sebagai merepek.

"Saya rasa persembahan awak merepek. Saya dengar banyak kepincangan membuatkan percaturan awak malam ini tidak menjadi, dengan tiada kawalan vokal," kata Edry ketika memberikan ulasan.

Mentor Otai menampilkan lapan peserta yang diletakkan di bawah bimbingan empat mentor iaitu Misha Omar, Siti Sarah, Tam Spider dan Zarul Husin.

Konsert minggu kedua turut diadili juri, Mark Adam.

Juri profesional mewakili 50 peratus markah, manakala 20 peratus lagi daripada juri awam dan selebihnya hasil undian secara online menerusi laman web rasmi Mentor Otai.

Program yang bersiaran selama enam minggu itu mempertaruhkan hadiah wang tunai RM100, 000 untuk juara, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing bakal membawa pulang RM50,000 dan RM20,000.

5609 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »