Sabtu, 24 March 2018 | 11:18pm

Ipoh memang luar biasa

IPOH: Keampuhan Konsert GegaRia terus terbukti apabila lebih 25,000 penonton membanjiri acara kemuncak yang berlangsung di Bulatan Amanjaya, Meru, di sini, sebentar tadi.

Membariskan nama popular seperti Noh Salleh, SonaOne dan Bunkface, kemunculan Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah sebagai vokalis, Azham Ahmad (dram), Putu Ceri (bass/vokal) dan Asmawi (gitar/vokal) antara paling dinanti pengunjung.

Menggayakan seragam batik, keampuhan persembahan kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 itu turut diakui penghibur lain.


Pengunjung membanjiri konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Kugiran Masdo membuat persembahan di konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Abdullah Yusof

Ali ketika ditanya mengenai sambutan luar biasa yang diberikan peminat di negeri itu mengakui, terharu apatah lagi, kemunculan mereka turut ditunggu barisan penyanyi yang berkongsi pentas sama.

"Terima kasih buat semua yang datang, terutama penganjur yang memberikan kami penghormatan besar ini. Terima kasih untuk nyanyian yang sangat indah daripada Gang Pak Maon.

"Sebagai wakil kumpulan indie, kami bersyukur perjuangan Kugiran Masdo sudah mencapai tahap yang membanggakan. Alhamdulillah, nama kami akhirnya diletakkan sebaris artis popular lain.

"Tiada lain kami harapkan kecuali teman seperjuangan kami yang lain akan diberikan peluang sama," katanya.


Pengunjung menyaksikan konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Dihoskan Amar dan Deen Hot FM, edisi terbaru ini turut dimeriahkan dengan kemunculan artis popular seperti Nabila Razali, Elfira Loy dan Faiz Dickie yang membuat penampilan pada sebelah siang.

Selain konsert, Festival GegaRia Fest 2018 turut menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon seperti Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

Terdahulu, festival yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11 malam itu diadakan di Setia Alam, Selangor; perkarangan Johor Bahru Mall, Johor dan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

3902 dibaca
Pengunjung membanjiri konsert Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X