Rabu, 7 March 2018 | 10:10am
PELAKON dan Pengarah, Fauziah Ahmad Daud, ketika menjayakan Karnival Teater Jalanan - Seni.... Itu Rupanya bersama pelajar Ogy's Centrestage & Academy di Street Market, The Curve, Damansara. - Foto Mohd Shahril Badri Saali
FAUZIAH bersama pelajarnya ketika Karnival Teater Jalanan - Seni.... Itu Rupanya. - Foto Mohd Shahril Badri Saali

Fauziah bawa teater ke ruang terbuka

KUALA LUMPUR: Andai selama ini teater selalunya dipentaskan di dewan dan auditorium, Fauziah Ahmad Daud menerusi Karnival Teater Jalanan membawakan pementasan Seni... Itu Rupanya! mendekati khalayak di ruang terbuka.

Fauziah yang mesra disapa Ogy berkata, karnival dua hari pada 3 dan 4 Mac lalu di Street Market, The Curve, di sini, memberi ruang kepada khalayak untuk lebih mendekati dan memahami seni pementasan berkenaan.

Seni... Itu Rupanya! arahan Fauziah dan Rosman Ishak selaku penolong pengarah menampilkan 30 pelajar dari Ogy's Centrestage & Academy yang ditubuhkan sejak dua bulan lalu.

Fauziah berkata, konsep Karnival Teater Jalanan sering diadakan di Eropah dan Amerika Syarikat, namun masih asing di negara ini.

"Saya ambil pengalaman ketika menjadi pelakon teater jalanan di bawah arahan arwah Syed Alwi Syed Hassan yang dipentaskan di depan Kompleks Pertama pada 1990-an untuk diterapkan kepada peminat seni.

"Saya masih ingat, ketika menerima trofi Pencapaian Sepanjang Zaman, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29, saya bertekad mahu memartabatkan seni. Saya ambil tanggungjawab ini untuk mendidik anak bangsa supaya mencintai seni.

"Saya tidak mahu melahirkan anak seni yang hanya tahu berjalan di permaidani merah, tetapi tidak mencintai seni," katanya.

Fauziah berkata, pendekatan itu diambil untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pelajar yang mengikuti kursus di akademinya.

"Saya tidak mahu mematikan impian mereka. Selepas mengikuti bengkel, saya tidak mahu membiarkan diri masing-masing tanpa hala tuju.

"Karnival Teater Jalanan ini membuka ruang yang lebih besar untuk mereka mencipta nama. Ramai produser berminat mengintai dan menawarkan peluang kepada mereka," katanya.

928 dibaca
Berita Harian X