Sabtu, 24 Februari 2018 | 5:35pm
MOHD Zulfadli melukis potret seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Cina bernama Zi Sim di atas 'dinding'. - Foto Asyraf Hamzah
HASIL karya Mohd Zulfadli menjadi perhatian pada Festival GegaRia edisi ketiga di Stadium Darul Makmur, di Kuantan, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
MOHD Zulfadli menyiapkan lukisan grafiti menggunakan cat sembur pada Festival GegaRia edisi ketiga anjuran Media Prima Berhad di pekarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan. - Foto Asyraf Hamzah

Demonstrasi mural grafiti tarik perhatian

KUANTAN: Kelibat pelukis mural, Mohd Zulfadli Ahmad Nawawi, 32, yang tekun menghasilkan karyanya menjadi perhatian pada Festival GegaRia edisi ketiga di Stadium Darul Makmur, di sini, hari ini.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu melukis potret seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Cina bernama Zi Sim di atas 'dinding' di satu sudut perkarangan stadium berkenaan.

Ditanya mengenai hasil karyanya, Mohd Zulfadli atau Aki One berkata, dia sememangnya memilih pengunjung festival untuk dijadikan subjek lukisannya.

"Di Shah Alam saya menghasilkan lukisan wajah kanak-kanak perempuan Melayu bernama Suci, di Johor Bahru pula kanak-kanak lelaki India bernama Rashan.

"Di sini (Kuantan) saya memilih kanak-kanak berbangsa Cina untuk diabadikan sebagai subjek lukisan saya dan ini secara tidak langsung menunjukkan festival ini dihadiri oleh masyarakat berbilang kaum," katanya ketika ditemui di sini.

Meminati seni lukis sejak sekolah, Akid berkata, dia bermula dengan melukis di atas kanvas menggunakan berus dan warna air namun kemudiannya beralih ke lukisan mural pada tahun 2005.

Katanya, melukis dengan menggunakan semburan cat di atas dinding lebih memberi kepuasan kepada dirinya kerana hasil seninya itu dilihat oleh lebih ramai orang.

"Menghasilkan mural menggunakan semburan cat agak mencabar dan memerlukan banyak latihan sebelum dapat menguasai tekniknya.

"Malah hasil lukisan ini dapat bertahan lebih lama berbanding dengan menggunakan berus dan ia lebih kemas," katanya.

565 dibaca
Berita Harian X