Khamis, 1 Februari 2018 | 3:46pm
PENYANYI, Kumpulan De Fam, Nurshazwani Shamsuddin (kanan), Azira Shafinaz Ramlan dan Sophia Liana Muhamed Sobri (kiri). - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

DeFam teruja jayakan GegaRia di JB Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Kehangatan festival hispter yang semakin menjadi bualan, GegaRia, turut dirasai kumpulan trio wanita popular, DeFam.

Kumpulan yang dianggotai oleh Azira Shafinaz Ramlan, Sophia Liana dan Cik Manggis sekali lagi akan terbabit dalam konsert sempena festival berkenaan pada Sabtu ini, di Angsana Johor Bahru Mall, selepas berbuat demikian pada penganjuran pertama di Shah Alam, 13 Januari lalu.

"Kami memang tidak menyangka apabila diundang untuk mengadakan persembahan di ketiga-tiga lokasi festival, termasuk di Kuantan, Pahang, tidak lama lagi.

"Ia memang penghormatan buat kami, apatah lagi festival ini boleh dianggap sangat eksklusif dan acara yang mampu menghimpunkan sebuah keluarga di sesebuah lokasi.

"Festival GegaRia juga boleh dikatakan acara baharu yang sangat urban, namun dengan pantas mewujudkan 'hype' atau demamnya tersendiri. Ia bagai satu jenama yang semakin mesra di kalangan kita semua," kata Azira mewakili teman yang lain.

Ketika menjayakan konsert sempena festival terbabit di Shah Alam, katanya, mereka berasa amat dialu-alukan.

"Maklum balas dan sokongan pengunjung serta peminat yang datang memang hebat, meriah dan 'happening'. Ramai remaja yang turut menghangatkan acara terbabit, selain orang dewasa dan kanak-kanak.

"Daripada laporan di akhbar juga, kita tahu lebih 20,000 orang datang memeriahkan acara. Jadi, usaha yang dilakukan pihak BH dan Media Prima dalam menganjurkan acara ini harus dipuji," kata Azira lagi.

Menurutnya, ruang disediakan penganjur turut menjadi medan terbaik buat mereka memperkukuhkan lagi nama DeFam

"Lebih istimewa, kami berkongsi pentas dengan nama hebat seperti Noh Salleh, Bunkface, Akim & The Majistret serta Kugiran Masdo. Kemeriahannya memang sangat terasa.

"Kami tentunya tidak sabar nak berkunjung ke Johor Bahru pula dan kami yakin, pengunjung yang bakal membanjiri pusat beli-belah itu nanti pastinya menjadikan festival lebih menggegarkan," kata Azira sambil memaklumkan sudah pun menyediakan beberapa lagu untuk hiburan peminat di sana.

Mengenai kemunculan secara berdua ketika menjayakan acara di Shah Alam, tempoh hari, tanpa Cik Manggis, Azira menyifatkan ia perkara biasa.

"Memang perkara biasa kalau seorang daripada kami tak dapat turut serta. Ketika persembahan di Shah Alam, contohnya, Cik Manggis berada di Sepanyol atas tuntutan kerja.

"Kami tak rasa ada kekurangan pun kalau membuat persembahan secara berdua. Namun, untuk persembahan di Johor Bahru dan Kuantan, kami akan kembali muncul bertiga," katanya.

Selepas Johor Bahru, Festival Gegaria akan diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan. Siri pertama festival itu berlangsung di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, 13 Januari lalu.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman rasmi Facebook dan Instagram, GOGEGARIA.

491 dibaca
Berita Harian X