Selasa, 30 Januari 2018 | 6:00pm
SELEPAS kejayaan siri pertama di Shah Alam, bulan lalu, festival hipster, GegaRia bertandang pula ke Johor Bahru, Johor, Sabtu ini.- Foto Mahzir Mat Isa

GegaRia singgah JB pula

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan siri pertama di Shah Alam, bulan lalu, festival hipster, GegaRia bertandang pula ke Johor Bahru, Johor, Sabtu ini.

Mengekalkan konsep sama, aktiviti bertemakan kenegaraan, kemasyarakatan, kekeluargaan, kecergasan dan hiburan anjuran Media Prima Berhad itu akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru, mulai jam 8 pagi hingga 11 malam.

Penggemar aktiviti sihat, boleh menyertai sesi tarian kecergasan zumba yang diketuai jurulatih, Hanif Shawn, bermula jam 8.30 pagi. Selain mengetuai rutin zumba, Hanif juga akan berkongsi tip kecergasan.

Melalui aktiviti bertemakan kenegaraan, pengunjung boleh melalui terowong atau kapsul mini untuk menyoroti sejarah pembangunan negara dengan acara gemilang setiap dekad ditonjolkan.

Terowong yang dibuka mulai jam 10 pagi hingga 6 petang itu membolehkan pengunjung mengamati koleksi foto dengan efek cahaya lampu dan muzik yang pasti membangkitkan nostalgia.

Elemen ini pasti mengimbas kenangan zaman kanak-kanak, selain membangkitkan rasa cinta dan hormat generasi muda kepada golongan lebih berusia termasuk pejuang kemerdekaan.

Demo memasak membabitkan dua cef selebriti terkenal iaitu Cef Naem dan Cef Fikree juga diselitkan dalam acara sehari itu. Selain itu, kehadiran personaliti televisyen (TV), Naz Rahman dan Faizdickie pasti memeriahkan suasana.

Pengunjung juga boleh mengikuti tutorial mekap bersama Putreeo dan klinik imej bersama Noorish Al Qayyum. Jinnyboy dan Reuben pula berkongsi pengalaman mengenai tanggungjawab ketika berinteraksi di media sosial.

Tidak ketinggalan, penyanyi lagu Pematah Hati, Nabila Razali melakukan demonstrasi pemakaian tudung. Peminat maskot kartun Ejen Ali juga boleh bertemunya secara dekat.

Festival GegaRia pasti lebih hangat dengan kehadiran artis seperti pasangan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya; kumpulan DeFam dan Noh Salleh.

Mengakhiri acara, segmen Konsert GegaRia di pentas utama yang sebelum ini menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung di Shah Alam, dijangka bermula pada jam 9 malam.

Artis yang bakal menghangatkan pentas adalah DeFam, Noh, Akim & The Majistret, kugiran Masdo dan Bunkface.

Selepas Johor Bahru, Festival Gegaria akan diadakan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada 24 Februari depan. Siri pertama Festival GegaRia diadakan di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 13 Januari lalu.

Maklumat lanjut layari laman rasmi Facebook dan Instagram, GOGEGARIA.

437 dibaca
Berita Harian X