Jumaat, 26 Januari 2018 | 11:50pm
Sekitar raptai bagi Konsert Amal Bingkisan Kami Buatmu Datuk Ooi Eow Jin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Konsert Bingkisan Kami Buatmu janji persembahan hebat

PETALING JAYA: Konsert amal 'Bingkisan Kami Buatmu' akan berlangsung selama dua malam bermula esok dan Ahad ini, menjanjikan persembahan memukau dan unik daripada penyanyi serta penghibur orang kelainan upaya (OKU).

Berlangsung di Pusat Seni Persembahan Damansara (DPAC), Damansara Perdana, konsert itu bertujuan mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada komposer dan penulis lirik lagenda negara, Datuk Ooi Eow Jin yang menderita Alzheimer sejak tiga tahun lalu.

Pengasas OKU Sentral, Ras Adiba Radzi berkata, konsert itu adalah antara usaha pihaknya untuk membantu rakan OKU yang memerlukan bantuan seperti Ooi.

"Ini antara usaha pihak kami untuk membantu rakan OKU yang berada dalam kesusahan. Saya amat terharu kerana semua krew yang kebanyakannya juga golongan OKU amat komited menjaya konsert ini,

"Kita harapkan orang ramai datang menyokong kami dan hayati bakat serta kemampuan OKU sambil beramal."  katanya kepada BH selepas raptai konsert berkenaan, di sini, awal malam tadi.


Ras Adiba Radzi ketika raptai bagi Konsert Amal Bingkisan Kami Buatmu Datuk Ooi Eow Jin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Personaliti televisyen popular yang mesra dengan panggilan Kak Deep berkata, konsert amal itu turut menjadi platform mempamerkan bakat unik dan kemampuan golongan OKU kepada masyarakat.

Konsert  itu bakal menampilkan persembahan memukau oleh Ras sendiri bersama kumpulan Muniros, Sayang Dancers, OS Wheelchair Dancers; penyanyi, Umar Hasfizal dan Eyelitz serta ramai lagi.

Ooi, 80, kini tinggal bersama isteri, Datin Elaine Khaw dan anaknya, Raymond, yang turut menderita tumor otak dan cacat penglihatan.

Beliau mencipta nama sebagai komposer sekitar tahun 1960, pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi tempatan termasuk penghibur legenda seperti Tan Sri P. Ramlee, Datuk Sudirman Arshad, Rafeah Buang, Salamiah Hassan, Jennifer Yen dan kumpulan Alleycats.

Antara lagu popular ciptaan Ooi ialah Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Kisah Gadis Sepi, Hati Yang Rapuh dan Dia Ibuku.

Sepanjang empat dekad di dalam industri muzik, beliau pernah berkhidmat bersama Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1963 hingga 1983 dan sebagai pengarah muzik di TV3 pada 1984.

Konsert itu bakal dipersembahkan sebanyak dua kali iaitu pada jam 3 petang dan 8 malam sepanjang dua hari berkenaan dengan tiket berharga RM100 seorang.

Tiket boleh dibeli sebelum konsert di DPAC atau secara dalam talian di laman sesawang menerusi www.dpac.com.my.

274 dibaca
Berita Harian X