Rabu, 24 Januari 2018 | 11:44pm
BINTANG The Shape of Water, Sally Hawkins, dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Academy ke-90. - Foto: AFP

Shape of Water, Three Billboards pencabar utama Oscar

LOS ANGELES: Dua filem terbitan Fox Searchlight, masing-masing kisah cinta fantasi, The Shape of Water, dan cerita komedi gelap, Three Billboards Outside Ebbing, Missouri, muncul sebagai pencabar terbesar bagi merebut trofi Filem Terbaik apabila kedua-duanya dicalonkan dalam semua kategori utama Anugerah Academy ke-90.

The Shape of Water menerima 13 pencalonan, termasuk dalam kategori Filem Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Guillermo del Toro.

Tiga bintangnya, Sally Hawkins, Richard Jenkins dan Octavia Spencer pula masing-masing dicalonkan dalam kategori lakonan.

Pencalonan untuk Oscar yang dianggap penghargaan tertinggi dalam industri perfileman, kali ini dilihat lebih pelbagai, malah ia mengangkat kisah mengenai mahupun oleh wanita, serta penggiat seni bukan kulit putih.

"Saya tak pernah melihat kepelbagaian begini sepanjang ingatan saya. Semua orang mempunyai sesuatu di dalamnya," kata Laurie Metcalf yang dicalonkan dalam kategori pembantu hasil lakonannya dalam Lady Bird.

Shape of Water, yang dianggap banyak pihak sebagai naskhah kaya dengan kesan visual, bercerita mengenai seorang wanita yang jatuh hati pada makhluk air yang pelik.

Jenkins berkata, filem berkenaan adalah mengenai cinta, penerimaan dan empati serta tidak bersikap menghakimi.

Drama Perang Dunia Kedua, Dunkirk, daripada Warner Bros pula mengikut di belakang dengan lapan pencalonan termasuk bagi pengarahnya, Christopher Nolan.

Namun Three Billboards, yang berkisar pada seorang wanita mencari keadilan buat anaknya yang mati dibunuh, sehingga kini dilihat mendominasi majlis anugerah, termasuk memenangi kategori utama pada majlis penganugerahan Screen Actors Guild, beberapa hari lalu.

Pada Oscar kali ini, ia menerima tujuh pencalonan dengan pemenang trofi Golden Globe dan Screen Actors Guild, Frances McDormand serta Sam Rockwell, masing-masing sekali lagi bersaing dalam kategori lakonan, bersama-sama Woody Harrelson.

Firma pertaruhan Eropah, Betway, menjadikan Three Billboards sebagai calon pilihan untuk memenangi anugerah Filem Terbaik, diikuti rapat oleh The Shape of Water.

Anugerah berkenaan akan disampaikan di Hollywood pada 5 Mac depan (waktu Malaysia), dengan pengacara terkemuka, Jimmy Kimmel, ditampilkan sebagai hosnya buat kali kedua.

Enam lagi judul yang dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik ialah Call Me By Your Name, Darkest Hour, Get Out, Lady Bird, Phantom Thread, dan The Post.

360 dibaca
Berita Harian X