Rabu, 24 Januari 2018 | 5:46pm
PENERBIT dan penulis novel, Siti Rosmizah Semail. - Foto: Rohanis Shukri
PELAKON, Farid Kamil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Penerbit tak gentar ugutan saman Farid Kamil

KUALA LUMPUR: Penerbit dan novelis popular tanah air, Siti Rosmizah Semail tidak teragak-agak untuk menyaman aktor, Datuk Farid Kamil yang didakwa melanggar beberapa syarat ketika penggambaran drama rantaian, Lafazkan Kalimah Cintamu (LKC).

Siti Rosmizah mendakwa, sikap tidak berdisiplin aktor terbabit menyebabkan beliau mengalami kerugian ketika menghasilkan drama arahan Jalena Rejab dan Along Kamaluddin itu.

"Saya mengalu-alukan sekiranya Farid ingin menyaman produksi, yang kononnya menyebabkan beliau tercedera ketika penggambaran. Saya mempunyai segala bukti dan gambar serta bersedia untuk menegakkan kebenaran di mahkamah.

"Farid mengadu kaki kanannya bernanah kerana air kotor yang digunakan untuk babak dalam drama pada 26 November lalu. Sebenarnya, saya guna khidmat bomba Wangsa Maju dan air diambil adalah air terjun, bukan air kotor seperti didakwa.

"Kenapa hanya kaki kanannya bernanah, sedangkan satu badan terkena hujan palsu yang dibuat itu? Saya dimaklumkan, kaki kanan Farid sudah mengalami gatal-gatal sebelum itu lagi.

"Jika benar dia ingin saman saya, saya pun ingin menuntut kerugian kerana masalah yang ditimbulkan olehnya," katanya kepada BH Online.

Siti Rosmizah yang juga penerbit bersama drama rantaian 7 Hari Mencintaku, berkata aktor berkenaan sudah menghantar beberapa tuntutan kepada pihak peguamnya.

"Selain isu air kotor yang dibangkitkan, saya juga menerima tuntutan daripada peguam Farid yang mendakwa anak guamnya diminta membuat aksi lasak membahayakan nyawa ketika penggambaran LKC.

"Sebenarnya tilam disediakan untuk adegan yang memerlukan Farid jatuh, jadi bagaimana pula boleh membahayakan nyawa? Mungkin saya baru lagi sebagai penerbit, namun saya guna dua pengarah yang sudah lama berkecimpung dalam bidang pengarahan.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dengan terus membuat kenyataan balas. Jika benar Farid ingin saman, saya sudah bersedia. Saya mempunyai latar belakang sebagai peguam, jadi saya sudah mengumpul segala bukti yang ada," katanya.

Terdahulu, BH Online melaporkan, Farid memuat naik perkongsian di laman sosial Instagramnya, menyatakan beliau mahu terus memperjuangkan nasib orang yang teraniaya, tanpa menyebut individu dimaksudkan.

Perkongsian itu menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan netizen, apatah lagi apabila beliau memegang dokumen yang kelihatan seperti sebuah laporan polis di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara.

31857 dibaca
Berita Harian X