Selasa, 23 Januari 2018 | 6:31pm
KETUA Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (tengah, jaket kuning) bergambar bersama artis teater pada Pelancaran Program Baharu Istana Budaya 2018. - Foto: Aswadi Alias

Istana Budaya senarai hitam lebih 20 produksi

KUALA LUMPUR: Istana Budaya (IB) menyenarai hitam lebih 20 produksi tempatan yang didapati bermasalah sepanjang tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, antara kesalahan utama dilakukan produksi terbabit adalah menarik diri pada saat akhir daripada menjayakan pementasan dan gagal melunaskan bayaran kepada pihak berkenaan selepas persembahan diadakan.

"Kami terpaksa bertindak tegas dengan menyenarai hitam produksi terbabit kerana sikap mereka yang suka menarik diri pada saat akhir sehingga menimbulkan masalah untuk kita mencari pengganti, tidak membayar sewa dan melunaskan bayaran artis yang sudah pun membuat persembahan, serta syarikat yang menimbulkan kontroversi.

"Ada juga syarikat yang belum melunaskan hutang mereka sejak 10 tahun lalu.

"Tindakan ini juga diambil atas nasihat bahagian undang-undang Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Ia adalah hukuman buat mereka supaya perkara sama tidak berulang," kata Juhari pada Majlis Pelancaran Program IB 2018, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Kata Juhari, proses tapisan pada tahun ini juga dibuat dengan lebih ketat dan hanya produksi yang mempunyai rekod cemerlang diberi peluang untuk mementaskan persembahan mereka di gelanggang berprestij itu.

Sementara itu, pelbagai program menarik disediakan IB bagi mengisi slot sepanjang 2018, antaranya Mystic India, The World Tour, KRU25 - The Musical By KRU, Konsert Doa Buat kekasih, Primadona, Konsert Ulang Tahun ke-25 Orkestra Simfoni Kebangsaan, Cinta Pertama The Musical, Pengantin Popular Sebuah Muzikal dan Tanah Akhirku.

Selepas lebih lapan bulan ditutup bagi memberi laluan kepada kerja pengubahsuaian, Panggung Sari bakal kembali beroperasi dengan menampilkan pementasan OlaBola The Musical mulai 8 Februari depan sebagai persembahan pembukaan.

615 dibaca
Berita Harian X