Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:41pm

Festival GegaRia terus 'hangat' malam ini

SHAH ALAM: Kemunculan barisan finalis Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) antara tarikan Festival GegaRia yang sedang berlangsung di Tapak Letak Kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Membariskan nama popular seperti Hael Husaini, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, Haqiem Rusli dan Salma, bahang kehangatan acara berprestij itu semakin dirasai apabila pengunjung mula membanjiri ruang pentas utama konsert sejak jam 3 petang tadi.

Keterujaan itu turut dikongsi sama enam finalis yang menjadikan Festival GegaRia sebagai ruang untuk berlatih sebelum meneruskan perjuangan pada acara kemuncak yang akan berlangsung pada 11 Februari ini.

Menampilkan penyampai radio Hot FM, Fizi dan Fly FM, Guibo sebagai pengacara, segmen persembahan finalis AJL 32 yang bermula jam 4 petang itu dibuka dengan aksi bertenaga Salma membawakan dua lagu iaitu Wulan Merindu dan Akhirnya Cinta.

Segmen itu seterusnya dihangatkan lagi dengan kemunculan Haqiem Rusli yang menyanyikan dua lagu iaitu Jatuh Bangun dan Tergantung Sepi, manakala Ernie Zakri pula menyanyikan lagu popularnya, Jangan Marah sebelum berduet dengan Syamel membawakan lagu yang melayakkan mereka bersaing pada kemuncak AJL 32 iaitu Aku Cinta.

Syamel turut beraksi solo membawakan lagu yang mempopularkan namanya iaitu Lebih Sempurna.

Memanaskan momentun pentas, Ara turut memukau pengunjung dengan lagu Bunga dan Warkah Untukku.

Segmen persembahan pada petang itu ditutup penyanyi Hael Husaini dengan menyanyikan dua lagu iaitu Jampi dan Dari Mata.

Kehangatan Festival GegaRia diteruskan lagi dengan konsert istimewa pada malam ini dengan menampilkan persembahan daripada De Fam, Akim & The Majistret, Noh Saleh, Bunkface dan kugiran Masdo, manakala penyampai radio Kool FM, AG dan Haiza mengambil tugas sebagai pengemudi acara.

Terdahulu, pengunjung juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan barisan artis dan personaliti seperti Elfira Loy, Nabila Razali, Ainul Aishah, Nadia Brian, Nadzmi Adhwa, Reen Rahim, Chef Fikree serta Chef Naim yang turut membuat demonstrasi masakan dan tatarias hijab.

238 dibaca
ORANG ramai membanjiri showcase finalis AJL 32 sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
ORANG ramai membanjiri showcase finalis AJL 32 sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir bagi menyaksikan showcase finalis AJL 32 sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad
HAEL Husaini membuat persembahan sempena showcase finalis AJL 32 di Festival GegaRia. - Foto Eizairi Shamsudin
PENYANYI, Haqiem Rusli beramah mesra bersama peminat selepas membuat persembahan showcase finalis AJL 32 sempena Festival GegaRia. - Foto Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X