Sabtu, 13 Januari 2018 | 10:53am

Hujan tidak halang ke Festival GegaRia

SHAH ALAM: Cuaca sejuk dan hujan renyai-renyai tidak mematahkan semangat pengunjung memeriahkan Festival Gegaria, di sini pagi ini.

Berlangsung di tapak letak kereta B, Setia City Convention Centre, tempat itu bertukar menjadi galeri seni 'funky' dengan binaan struktur huruf gergasi berwarna-warni yang diilhamkan daripada rumah tradisional Melayu,

Rata-rata pengunjung yang hadir seawal 7 pagi, teruja dengan acara yang diadakan hari ini.

Siti Nurshidah Jaafar, 39, menyertai zumba pagi tadi.

"Dari semalam lagi saya sudah tak sabar nak datang sini. Hujan pagi ini tidak melunturkan semangat saya.

"Saya jarang hadir ke program seperti ini. Namun, Festival GegaRia hari ini amat menyeronokkan," katanya ketika ditemui, di sini.

Nur Amlya Abd Majid, 39, membawa pulang seutas jam tangan menerusi segmen cabutan bertuah dalam acara zumba.


Nur Amlya membawa pulang seutas jam tangan segmen cabutan bertuah bagi acara zumba.

Dia yang juga seorang meminat program kecergasaan sudah berada di lokasi seawal 7.30 pagi.

"Hujan pun kami redah saja. Malah, dapat cabutan bertuah pula. Ini memang hari bertuah saya." katanya penuh ceria.

Festival GegaRia yang berlangsung sepanjang hari ini bermula jam 8 pagi hingga 10 malam nanti, turut menampilkan juadah Malaysia pelbagai cita rasa dan trak makanan.

Menambah kehangatan, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32 seperti Hael Husaini, Ara Johari, Ernie Zakri, Syamel, Haqiem Rusli dan Salma.

Menjelang malam, barisan artis seperti Noh Salleh, Bunkface, De Fam, Akim & The Majistret dan kugiran Masdo bakal menggegarkan pentas utama dalam konsert istimewa.

Lebih menarik, festival itu turut menyediakan khemah khas bagi agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan, derma darah dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya.

395 dibaca
Pengunjung menyertai Zumba, sempena Festival GegaRia di tapak letak kereta B, Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »