Selasa, 3 Oktober 2017 | 5:43pm
Juara, Da'i Hakim (tengah) manakala tempat kedua Da'i Afiqah (kanan) dan tempat ketiga Da'i Fahmi di pentas akhir Da'i Pendakwah Nusantara musim ke-5 di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral Shah Alam. - Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

Pentas akhir Da'i musim kelima raih 3.6 juta penonton

KUALA LUMPUR: Pentas akhir Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima yang berlangsung Ahad lalu meraih 3.6 juta penonton.

Pada saingan akhir yang diadakan di Sri Pentas 2, Shah Alam, Da'i Hakim dinobatkan sebagai juara, manakala Da'i Afiqah pula naib juara dan pemenang tempat ketiga menjadi milik Da'i Fahmi.

Selaku juara, Hakim membawa pulang trofi, wang tunai RM50,000 daripada TV3 dan pakej umrah untuk dua orang.

Afiqah dan Fahmi pula masing-masing memenangi wang tunai RM5,000, trofi dan pakej Pelayaran Penyucian Jiwa.

Pentas akhir rancangan siaran TV3 itu dibuka dengan persembahan lagu tema pertandingan, Lebaran Kejayaan oleh Azmi Saat (Caliph Buskers) dan peserta Da'i musim kelima. Turut membuat persembahan ialah duet Rabbani dan Black menerusi lagu Dalam Aku.

Menurut penerbit program terbabit, Shukri Ibrahim, penyertaan peserta pada musim terbaru itu cukup berwarna-warni kerana mereka hadir dengan latar belakang berbeza.

"Lingkungan umur peserta tetap sama dengan musim lalu, iaitu 18 hingga 30 tahun, tetapi mereka datang daripada pelbagai bidang seperti Syariah, Dakwah, Kaunseling, Tahfiz al-Quran dan Bahasa Arab.

"Malah, ada yang hanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Semua peserta juga mempunyai kreativiti masing-masing, membuatkan persembahan mereka menarik di pentas Da'i kali ini," katanya.

Da'i Pendakwah Nusantara musim kelima diterbitkan Primeworks Studio, mengekalkan Datuk Ustaz Kazim Elias sebagai Mursyid, manakala Ustaz Roslan Mohamed menggalas tugas Murabbi. Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah ditugaskan sebagai tenaga pengajar utama.

Selain itu, peserta juga menimba ilmu daripada juri tetap, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof Madya Dr Sharifah Haayati Syed Ismail.

Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dibantu Zainal Ariffin Ismail.

766 dibaca
Berita Harian X