Sabtu, 30 September 2017 | 1:13pm
ADI turut menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM15,000 selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
ANGGOTA nasyid Devotees, Adi Akmal Sehrom memilih anak Aziz M Osman, Puteri Nur Asyiqin Aziz sebagai isterinya.

Aziz M Osman terima menantu

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, anggota nasyid kumpulan Devotees yang juga pembaca berita TV Alhijrah, Adi Akmal Sehrom, 31, sah menjadi suami kepada Puteri Nur Asyiqin Aziz, 24, jam 10.40 pagi tadi.

Dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan pada majlis yang berlangsung di kediaman keluarga Puteri Nur Asyiqin di Taman Tun Dr Ismail, di sini, Adi turut menyerahkan mas kahwin RM300, wang hantaran RM15,000 selain tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.

Puteri Nur Asyiqin ialah anak sulung pengarah terkenal, Aziz M Osman menerusi perkahwinan kedua dengan bekas isteri, Nor Aliah Lee Abdullah.

"Alhamdulillah, kini bermula fasa baharu buat saya dan isteri. Selepas diijabkabulkan, kami bakal diraikan pada majlis resepsi di Putrajaya malam ini, diikuti majlis bertandang pada 7 Oktober ini di Sungai Buloh.

"Saya berdoa segala yang dirancang akan dipermudahkan," kata Adi kepada BH Online.

Menurut Adi, dia mengenali isterinya sekitar dua tahun lalu selepas diperkenalkan oleh sepupunya. Pasangan itu bertunang pada tahun lalu.

"Awalnya, saya tidak tahu isteri ialah anak kepada pengarah terkenal. Saya hanya mengetahuinya apabila kami bertemu buat kali pertama pada bulan puasa tahun 2015 di pusat beli-belah di Damansara. Ketika itu, keluarga kami turut serta untuk berbuka puasa bersama-sama.


ADI menyarungkan cincin ke jari Puteri Nur Asyiqin.


ANGGOTA nasyid Devotees, Adi Akmal Sehrom memilih anak Aziz M Osman, Puteri Nur Asyiqin Aziz sebagai isterinya.

"Sepanjang mengenali keluarganya, mereka begitu peramah dan mudah didekati. Saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan mereka," katanya.

Adi menyifatkan isterinya sebagai wanita yang sangat memahami dan tidak cerewet.

"Isteri seorang yang praktikal dan mudah dibawa berbincang. Insya Allah kami akan berbulan madu di Korea Selatan memandangkan isteri peminat drama dari sana. Soal cahaya mata, kami tidak akan menolak jika dikurniakan rezeki awal," katanya.

Adi yang masih aktif menyanyi dengan Devotees sejak 12 tahun lalu menyertai TV Alhijrah sejak tahun 2010 sebagai wartawan kanan dan penerbit.

36467 dibaca
Berita Harian X