Jumaat, 29 September 2017 | 8:54pm
DATUK Ahmad Izham Omar (empat kanan) bersama Aireen Omar (tiga kanan) dan Usamah Zaid (dua kanan) pada Majlis Pelancaran Kolaborasi AirAsia dengan Ejen Ali di AirAsia RedQ, KLIA 2. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kerjasama AirAsia, Ejen Ali cungkil potensi kanak-kanak

SEPANG: Kolaborasi antara AirAsia dan Ejen Ali menerusi kempen #MisiAspirasiAirAsia yang memberikan inspirasi kanak-kanak untuk menjadi pemimpin dunia membolehkan siri animasi popular itu diikuti secara percuma di dalam penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar, berkata gabungan watak Ejen Ali selaku wira bersama nilai aspirasi tinggi AirAsia mampu memberi keseronokan kepada si kecil dan pada masa sama membantu menyerlahkan potensi diri.

"Kerjasama strategik membabitkan AirAsia dan Ejen Ali diharap dapat menggalakkan generasi pelapis ini memahami kelebihan diri dan menonjolkan potensi yang mereka miliki.

"Gabungan ciri adiwira yang melihat tiada misi dipandang rendah dan nilai baik daripada AirAsia iaitu aspirasi tinggi, baik hati, bijak berbelanja dan mesra juga adalah rangkuman kualiti sebagai seorang wira.

"Daripada kerjasama ini, penumpang kecil berpeluang menyaksikan Ejen Ali musim pertama menerusi Rokki Wifi," katanya ketika majlis pengumuman kempen #MisiAspirasiAirAsia di ibu pejabat AirAsia RedQ, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid.

Sebagai tambahan, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan hidangan khas kanak-kanak, Kombo Bintang Riang edisi Ejen Ali, yang boleh ditempah secara dalam talian untuk ke semua destinasi AirAsia dan AirAsia X.

Istimewanya, pembeli juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembeli tiket masuk ke KidZania Kuala Lumpur dengan hanya menunjukkan bungkusan kombo.

Sementara itu, Aireen berkata, ibu bapa dijemput menghantar video anak mereka membuat aksi kualiti seorang wira menerusi Instagram atau Twitter yang menawarkan hadiah penerbangan percuma selama setahun untuk seisi keluarga.

Pemenang pertandingan yang dibuka dari 29 September hingga 31 Disember depan itu akan diumumkan ketika pelancaran pesawat AirAsia Airbus A320 yang dikenali sebagai Jet Perisik MATA pada Januari 2018.

600 dibaca
Berita Harian X